'Pulangkan wang atau kami heret ke mahkamah'

Rusman bersama beberapa peserta memegang plakad menuntut sebuah syarikat pengendali umrah membuat pembayaran balik kepada mangsa. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Rusman bersama beberapa peserta memegang plakad menuntut sebuah syarikat pengendali umrah membuat pembayaran balik kepada mangsa. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

PUTRAJAYA - Jawatankuasa bertindak mangsa umrah bertekad mengambil tindakan mahkamah ke atas sebuah syarikat pengendali umrah yang gagal membawa peserta ke Tanah Suci.

Ketua jawatankuasa bertindak, Ir Rusman Abu Samah berkata, pihak jawatankuasa bertindak telah melantik pihak peguam untuk bertindak mengheret syarikat pengendali umrah terbabit untuk dibicarakan bagi mendapatkan keadilan.

"Kami di pihak jawatankuasa telah bertindak mengupah pihak peguam bagi mengendalikan kes ini.

"Sekiranya tidak ada sebarang tindakan penyelesaian daripada syarikat pengendali untuk membayar balik wang kami, kami menjangkakan kes ini akan dibawa ke mahkamah pada awal Jun ini," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Rusman berkata, terdapat sekurang-kurangnya 157 ketua keluarga atau sekurang-kurangnya 602 orang yang mendaftar bagi mengerjakan umrah dengan syarikat pengendali umrah tersebut.

Rusman
Rusman

Menurutnya, dianggarkan tuntutan melebihi RM6.2 juta dibuat oleh bakal jemaah umrah.

Jelasnya, tarikh perjalanan peserta umrah adalah dari Disember 2020 sehingga 19 Mei lalu.

Terdahulu beberapa mangsa hadir di hadapan ibu pejabat syarikat pengendali umrah itu dekat sini, sebelum beredar selepas tamat sidang akhbar dilakukan.

Menerima laporan daripada orang ramai, sebuah kereta peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir di lokasi kejadian bagi membuat tinjauan, namun semua peserta telah beredar.

Sinar Harian yang berada di lokasi kejadian cuba mendapatkan pihak atau wakil syarikat pengendali umrah, namun pejabat urusannya 'kosong' tanpa penghuni.

Di hadapan pintu masuk syarikat pengendali umrah itu, terdapat notis menyatakan bahawa orang ramai perlu memberi kerjasama dan berhemah.

Notis tersebut juga menyatakan bahawa mereka menawarkan perkhidmatan mesra pelanggan, namun jika terdapat sebarang provokasi dan perilaku luar kawalan, pihak syarikat tidak teragak-agak mengambil tindakan termasuk menghalang mana-mana individu memasuki premis.

Selain itu, notis tersebut turut menyatakan premis itu diawasi oleh kamera litar tertutup 24 jam.