'Sudah-sudahlah nak jatuhkan kerajaan'

Lih Kang, Mujahid
Lih Kang, Mujahid
A
A
A

PARIT BUNTAR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menggesa pembangkang di negeri ini menghentikan sebarang bentuk usaha untuk menumbangkan kerajaan negeri yang langsung tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat.

Pengerusinya, Chang Lih Kang berkata, tindakan mencetuskan persepsi bahawa kerajaan negeri akan tumbang hanya menggusarkan rakyat dan juga pelabur yang mahu datang ke Perak.

Menurut beliau, pembangkang sepatutnya menunjukkan kehebatan mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika benar-benar mahu menjadi kerajaan.

"Saya rasa ini (dakwaan kerajaan negeri akan tumbang) adalah satu perang psikologi yang tak ada kebenaran langsung dalam kenyataan ini. Biasalah PRN (Pilihan Raya Negeri) sudah dekat walaupun negeri Perak tidak terlibat dalam PRN tetapi memang ini salah satu taktik nak cuba cetuskan ketiadaan keyakinan dalam kerajaan tetapi pada saya langsung tak ada kesan.

"Pihak pembangkang harus memberhentikan segala usaha ini sebab bukan sahaja akan mengganggu kestabilan kerajaan tetapi juga akan memudaratkan keyakinan para pelabur asing untuk masuk melabur dalam negeri kita," katanya kepada pemberita ketika Majlis Jamuan Hari Raya Malaysia Madani Pakatan Harapan (PH) Perak di Arena Square Parit Buntar, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Razman bahawa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan bertemunya di sebalik khabar angin bahawa kerajaan negeri Perak akan tumbang pada Julai ini.

Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol bagaimana pun enggan mendedahkan nama ADUN berkenaan dan mengalu-alukan jika benar ADUN kerajaan berkenaan mahu menyokong atau bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Perak.

Sementara itu, Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pula menganggap kenyataan tersebut tidak berasas kerana semua ADUN terikat dengan akta berkaitan lompat parti yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

"Siapa yang nak melompat, dia tetap akan gugur dan dibuat pilihan raya semula tak kira dia nak lompat mana, tetapi setakat ini dan sekadar mengingatkan Menteri Besar Perak (Datuk Seri Saarani Mohamad) telah pun menyebut sebelum ini di dalam ucapannya di Lenggong baru-baru ini bahawa tidak ada apa-apa (yang berlaku).

"Tetapi yang dicetuskan itu sekadar polemik untuk menggugat kestabilan kerajaan yang sedia ada pada hari ini," katanya dalam satu sidang media berasingan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan Perak masih kukuh dengan sokongan 32 ADUN - Saarani

MB Perak akan jelas isu ADUN lompat parti hari ini

Kerjasama dengan UMNO tak pinggirkan Amanah - Mujahid

Kerajaan Perak goyah: Razman dicabar kemuka bukti

Tak perlu pinda, Pelan Perak Sejahtera selari dasar Malaysia Madani