[VIDEO] Terpaksa tolak tetamu beraya sebab tiada air

Mohd Nizar menunggu penghantaran bekalan air melalui lori setelah empat hari terputus bekalan di Taman Murni, Gurun.
Mohd Nizar menunggu penghantaran bekalan air melalui lori setelah empat hari terputus bekalan di Taman Murni, Gurun.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Masalah bekalan air yang serius sejak beberapa bulan ini menyebabkan penduduk Taman Murni, Gurun terpaksa menyambut perayaan secara ala kadar.

Lebih menyedihkan, ada antara penduduk melarang kehadiran tetamu bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri memandangkan sering berdepan gangguan bekalan.

Pesara awam, Abdullah Junet, 63, berkata, kemeriahan hari raya tahun ini kurang dirasai disebabkan hasrat berkumpul beramai-ramai bersama sanak saudara di rumahnya tidak dapat ditunaikan.

"Rumah saya menjadi tumpuan adik-beradik sejak dulu, jadi mereka semua akan datang ke sini menikmati juadah dan berhari raya.

"Malangnya tahun ini, saya sendiri beritahu tak payah datang sebab air tiada," katanya.

Abdullah lega apabila menerima penghantaran bekalan yang diuruskan SADA ke rumahnya setelah empat hari terputus bekalan.
Abdullah lega apabila menerima penghantaran bekalan yang diuruskan SADA ke rumahnya setelah empat hari terputus bekalan.

Bagaimanapun dia lega apabila menerima bekalan yang dihantar ke rumah setelah empat hari ketiadaan air.

Sementara itu, Wee Woei Jer, 46, berkata, pekerjanya yang tinggal di perumahan itu sering mengadu tentang ketiadaan bekalan air dan lebih teruk sudah empat hari terputus bekalan.

Woei Jer terpaksa angkut air dari luar sebagai kemudahan pekerja setelah empat hari terputus bekalan.
Woei Jer terpaksa angkut air dari luar sebagai kemudahan pekerja setelah empat hari terputus bekalan.

"Ketika penduduk Kedah dan Pulau Pinang terjejas air Ahad lalu, kami lagi teruk sebab dah biasa, bekalan pula tidak dihantar ke rumah, terpaksa angkut sendiri dari kawasan lain," ujarnya.

Liew Cheah Chin, 57, pula berkata, penduduk perumahan itu sudah lali dengan ketiadaan air sejak beberapa bulan lalu dan sejak Aidilfitri lepas, hanya beberapa jam bekalan air disalurkan ke paip setiap pagi.

Cheah Chin (kiri) dan jirannya bersiap sedia bersama tong kosong menunggu lori menghantar bekalan air setelah empat hari terputus bekalan.
Cheah Chin (kiri) dan jirannya bersiap sedia bersama tong kosong menunggu lori menghantar bekalan air setelah empat hari terputus bekalan.

"Lepas satu minggu, air tiada sampai sekarang, kalau ada pun sekejap sahaja," katanya.

Bagi tukang gunting rambut, Mohd Nizar Ghazali, 35, yang sudah lapan tahun menyewa di taman berkenaan, dia menyedari masalah air kerap berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Isteri baru habis pantang. Empat anak saya termasuk bayi kecil memerlukan air yang banyak. Saya terpaksa tadah air di masjid atau tempat lain, air minum terpaksa beli.

"Ada penduduk beritahu lori ada hantar bekalan di lorong hadapan, tetapi rumah kami belum sampai giliran, hari ini masuk hari keempat terputus bekalan," katanya.

Tinjauan Sinar Harian di bahagian lain perumahan berkenaan mendapati terdapat lori Syarikat Air Darul Aman (SADA) sedang melakukan pengagihan bekalan dari rumah ke rumah.

Penduduk Taman Murni menyusun tong kosong bagi menunggu bekalan yang dihantar menggunakan lori setelah empat hari ketiadaan air.
Penduduk Taman Murni menyusun tong kosong bagi menunggu bekalan yang dihantar menggunakan lori setelah empat hari ketiadaan air.

SADA dalam maklum balas ringkas memberitahu, pengagihan akan terus dilakukan ke bahagian tengah taman pada Rabu dan diteruskan ke kawasan seterusnya.

Sebelum ini, Sinar Harian pada April melaporkan kira-kira 600 penduduk Taman Murni, Gurun yang terputus bekalan air sejak Mac lalu mengharapkan masalah itu dapat diselesaikan sebelum kedatangan Aidilfitri.

Ahad lalu, dalam satu kenyataan, SADA menganggarkan sebanyak 251,800 akaun di tiga daerah di Kedah terjejas membabitkan Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling disebabkan penurunan mendadak paras sungai yang berpunca daripada kerosakan pintu baraj Sungai Muda.

Kejadian turut menjejaskan tiga daerah sempadan iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan kawasan selatan Pulau Pinang yang dilaporkan turut mengalami gangguan sama.

Bagaimanapun, SADA melaporkan kesemua kawasan terjejas kini sedang menerima bekalan secara berperingkat.