Wanita alami tekanan perasaan mudah terjebak najis dadah

Tekanan perasaan merupakan faktor utama menjerumuskan wanita dalam penagihan dadah. - Gambar hiasan, gambar kecil: Siti Mariam
Tekanan perasaan merupakan faktor utama menjerumuskan wanita dalam penagihan dadah. - Gambar hiasan, gambar kecil: Siti Mariam
A
A
A

SEREMBAN - Tekanan perasaan merupakan faktor utama menjerumuskan wanita dalam penagihan dadah termasuk pada usia muda.

Pengarah Bahagian Rawatan Perubatan dan Pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Siti Mariam Mursyidan berkata, mereka beranggapan pengambilan bahan terlarang itu dapat menyelesaikan kekusutan dihadapi tetapi akhirnya memudaratkan diri.

"Apabila berdepan tekanan, mereka seolah-olah hilang punca dan kemudiannya memilih jadi pelarian. Dalam tempoh itu berjumpa pula orang yang salah yang membantu selesaikan masalah tapi dengan cara tak betul iaitu menggunakan dadah.

"Dalam keadaan marah dan berada pula dalam situasi susah menyebabkan seseorang itu tidak dapat berfikir dengan baik, jadi mudah terpengaruh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Bicara Wanita AADK Bertemakan Srikandi Pemacu Kepulihan di sini pada Rabu.

Menurutnya, ada juga yang terpengaruh dengan suami, dipaksa suami dan memilih mencuba dadah semata-mata marahkan suami yang ketagihan.

Bagaimanapun katanya, peratusan wanita yang mendapatkan rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) adalah sangat rendah berbanding lelaki iaitu kurang 10 peratus.

"Terdapat dua lokasi PUSPEN yang menempatkan wanita iaitu di Bachok, Kelantan dan di Dengkil, Selangor.

"Kemasukan paling muda seawal usia 16 tahun dan paling tua 60 tahun yang mana ada yang datang secara sukarela atau mandatori," katanya.

Selain itu beliau berkata, ketagihan dadah seseorang itu sememangnya boleh dihentikan tetapi proses pemulihan adalah sepanjang hayat.

Justeru katanya, pentingnya sokongan daripada masyarakat bagi membantu pemulihan golongan penagih.

"AADK dah bantu memulihkan mereka dan apabila mereka kembali ke dalam masyarakat, terimalah mereka dan pada masa sama terima juga keluarga mereka yang turut terkena tempias," katanya.

Sementara itu majlis berkenaan dirasmikan oleh Yang Dipertua Persatuan Badan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan (Bakriyah) Negeri Sembilan, Datin Wan Hasni Wan Yusof.