[VIDEO] Tukang kebun mengaku dera anak teman wanita

Abdul Rahman mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini pada Rabu.
Abdul Rahman mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Seorang tukang kebun mengaku bersalah mendera anak perempuan teman wanitanya berusia 4 tahun di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini pada Rabu.

Tertuduh, Abdul Rahman Abdullah, 38, melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Chin Hwa, Taman Chateau di sini antara bulan April hingga 9 Mei 2023.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut telah didapati melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak tersebut yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kesalahan itu membawa kepada hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Abdul Rahman yang faham pertuduhan tersebut mengaku bersalah di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 19 Jun 2023 untuk serahan laporan penuh perubatan serta keputusan hukuman.

Pihak pendakwaan meminta jaminan tidak diberikan bagi menghalang tertuduh mengganggu mangsa.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, K Darinee.

Pada 12 Mei lalu, tertuduh ditahan selepas ibu mangsa yang berusia 34 tahun membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.

Berdasarkan laporan itu, tertuduh memukul mangsa sejak bulan April 2023 dengan cara menampar muka kerana sering membuat bising di dalam rumah.

Selain itu, dalam tempoh berkenaan kanak-kanak terbabit turut ditumbuk di bahagian muka berulang kali, diketuk kepala dan diterajang pada bahagian badan oleh tertuduh.

Akibat tindakan itu, mangsa mengalami kecederaan lebam di kedua-dua mata, mulut, patah gigi, lebam dan sakit di seluruh badan.

Mangsa juga dipukul menggunakan batang buluh, batang besi aluminium dan batang paip PVC di kepala, belakang badan serta di kaki.

Hasil pemeriksaan fizikal, terdapat kesan lebam serta parut di beberapa anggota badan mangsa sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun bersama adiknya berusia dua tahun bagi menjalani rawatan serta pemeriksaan lanjut.