Agenda lawan rasuah bawa kerajaan, pembangkang duduk semeja

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUMPULAN Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 April lalu merupakan satu sejarah baharu yang perlu dibanggakan.

Ini kerana, penubuhan yang bertujuan untuk menggubal, menambah baik dan memperkasakan polisi serta dasar berkaitan anti rasuah dan tadbir urus negara itu melibatkan kedua-dua blok iaitu kerajaan dan pembangkang.

Ini merupakan satu sejarah baharu yang mana pembangkang bersetuju untuk bersama-sama kerajaan bagi menangani gejala rasuah.

Selain itu, KRPPM-IGAR juga ditubuhkan bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan menyekat penyalahgunaan kuasa melalui gabungan kolektif ahli-ahli Parlimen, senator, masyarakat sivil dan pakar-pakar dalam bidang berkaitan.

Pengerusi KRPPM-IGAR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, penubuhan tersebut menyasarkan tiga cadangan reformasi institusi dan perundangan akan segera dilaksanakan dalam penggal Parlimen tahun ini.

Jelasnya, ia adalah Pemisahan kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya, Reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2009 dapat dilaksanakan kerana semua cadangan itu kini sudah di peringkat draf.

Dalam masa sama, bekas menteri kabinet, Tan Sri Syed Hamid Albar menyifatkan penubuhan kumpulan tersebut adalah sebagai suatu yang positif dan membawa makna yang signifikan dalam usaha ke arah menjadikan Malaysia Tanpa Rasuah.

Katanya, ia adalah buat pertama kali wujud kesungguhan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk duduk semeja, berbincang bagi menjayakan agenda memerangi rasuah, sekali gus dilihat mampu membawa perubahan yang baik kepada negara.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia Rasuah Busters, Nurhayati Nordin, KRPPM-IGAR merupakan satu peluang kepada rakyat melihat sejauh mana kolaborasi dan kerjasama antara ahli Parlimen menangani isu rasuah di negara ini.

Tambah beliau, kerjasama itu juga turut menilai peranan mereka dalam mendengar suara rintihan dan kegelisahan rakyat mengenai masalah dan isu rasuah yang begitu mendatangkan pelbagai masalah dari sudut politik, ekonomi dan sosial.

Bagi Ketua Pasukan Rasuh Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub pula, semua ahli Parlimen perlu mempunyai kesungguhan dan bukan sekadar ada tekad politik dalam memerangi rasuah di negara ini.

Menurutnya, sebagai individu yang bertanggungjawab menggubal undang-undang, mereka mempunyai kuasa untuk membuat perubahan.

Dengan KRPPM-IGAR, jelas membuktikan bahawa untuk melawan gejala rasuah, ia tidak semestinya melalui blok pembangkang sahaja malahan pembangkang turut memainkan peranan.

Sekiranya ahli Parlimen tidak berganding bahu, berkemungkinan negara akan terdapat lebih banyak gejala tersebut dan sekali gus merugikan negara.