Seleweng dana Penjana, 47 pengarah syarikat ditahan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 47 pengarah syarikat telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di seluruh negara menerusi Op Hire 2.0.

Seramai 33 lelaki dan 14 wanita berusia 30 hingga 70 tahun itu ditahan sejak petang, Isnin.

Kesemua individu itu disyaki mengemukakan tuntutan yang kononnya telah mengendalikan program pengambilan dan latihan pekerja kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), namun ia tidak dilaksanakan.

Ops Hire 2.0 ialah operasi bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan hasil tuntutan palsu yang dibuat oleh pengarah-pengarah syarikat menerusi program insentif pengambilan pekerja dan program latihan (Penjana).

Menurut sumber, jumlah tuntutan yang terlibat adalah antara RM450,000 hingga RM2 juta. Op Hire 2.0 adalah lanjutan daripada Op Hire 1.0 yang dilaksanakan pada tahun lalu.

Kesemua 47 orang itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di seluruh negara pada Selasa untuk permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes disiasat di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan seksyen 471 Kanun Keseksaan.

"Tindakan tegas SPRM ini adalah bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan yang dilihat sebagai isu yang serius.

"SPRM telah mengenal pasti ratusan syarikat lain yang telah membuat tuntutan palsu dan akan meneruskan operasi bagi menahan semua yang terlibat," katanya.

Beliau menggesa mana-mana syarikat yang terlibat untuk tampil secara sukarela menyerahkan semula tuntutan yang telah dibuat bagi mengelakkan pertuduhan di Mahkamah.

"Kita telah kenal pasti nama dan senarai pemilik syarikat yang terlibat bagi tujuan mendapatkan semula kesemua tuntutan palsu terbabit, saya memberi amaran kepada semua untuk tampil segera, mereka yang masih berdegil akan dikenakan tindakan tegas" katanya.

Dalam Op Hire 1.0 sebelum ini seramai 74 orang daripada 60 syarikat telah ditahan dengan melibatkan tuntutan palsu bernilai RM88 juta dengan 52 orang telah didakwa di Mahkamah.