Pembela bantah kerajaan tarik balik rayuan kes kalimah ALLAH

Media melaporkan KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'ALLAH' dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Media melaporkan KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'ALLAH' dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) membantah sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan Perpaduan menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘ALLAH’ dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

Setiausaha Agungnya, Mohd Aswanizam Alias berkata, tindakan keputusan unilateral kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa merujuk dan berunding dengan pemegang taruh utama melibatkan isu umat Islam ini juga boleh dianggap melampau dan boleh mencetuskan keadaan yang tidak baik dalam negara.

"Pembela mengambil pendirian, tindakan Perdana Menteri dan Kerajaan Madani ini satu tindakan melampau terbesar dan biadab dalam era pemerintahan yang tidak mempedulikan hak dan kesucian agama Islam sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan serta tidak menjaga kepentingan kepentingan majoriti umat islam di negara ini.

"Kami juga ingin merakamkan kekesalan dengan peranan yang gagal dimainkan oleh ahli-ahli Parlimen Islam yang mendukung kewujudan Kerajaan Madani ini untuk membantah serta menghalang tindakan unilateral ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Isnin, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'ALLAH' dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan agama berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Aswanizam berkata, Pembela yang turut mewakili lebih 70 gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam lain turut menggesa ahli Parlimen Islam sama ada di pihak pembangkang atau kerajaan memberi tekanan supaya tindakan unilateral yang tidak menghormati agama Islam ini ditarik balik.

Katanya, kegagalan ahli Parlimen untuk menggesa Anwar mengarahkan supaya menarik balik pembatalan rayuan itu sebagai kegagalan utama wakil rakyat beragama Islam dana mempertahankan agama rasmi Malaysia itu.

"Pembela akan menggerakkan bantahan di peringkat NGO dan rakyat. Anwar wajib arahkan Peguam Negara untuk menarik balik pembatalan rayuan kes kalimah ALLAH ini," katanya.