Pelan Melaka 2035 pacu pertumbuhan ekonomi lebih maju

Adly Zahari (tengah) bersalaman dengan peserta Seminar Melaka Beribawa, Harapan dan Cabaran Pembangunan Untuk Semua di sebuah hotel di Banda Hilir, hari ini.
Adly Zahari (tengah) bersalaman dengan peserta Seminar Melaka Beribawa, Harapan dan Cabaran Pembangunan Untuk Semua di sebuah hotel di Banda Hilir, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka akan merangka perancangan pembangunan dan ekonomi jangka masa panjang dalam tempoh lima hingga 15 tahun, menjelang 2035.

Ketua Menterinya, Adly Zahari berkata, perancangan Melaka 2035 itu akan disusun lebih awal bagi terus memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri yang lebih maju ke hadapan dengan memberi tumpuan 18 sektor utama.

"Dasar pembangunan itu termasuk memfokuskan perpaduan dan sumber manusia, sosial dan wanita, pendidikan, pertanian dan pembangunan usahawan, kesihatan, komunikasi, multimedia, belia dan sukan selain bandar pintar, Smart City," katanya.

Beliau berkata demikan ketika Seminar Melaka Beribawa, Harapan dan Cabaran Pembangunan Untuk Semua anjuran Jabatan Ketua Menteri di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan dan Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid.

Menurutnya, dasar berkenaan akan memberi penekanan mengenai keperluan serta kemahuan rakyat terhadap kerajaan negeri supaya setiap inisiatif dan pembangunan dilaksanakan kerajaan itu bersifat inklusif dan memberi impak terus kepada rakyat tanpa ada keciciran.

"Kita akan mengambil pengalaman Melaka terdahulu di samping satu tahun pentadbiran PH. Bagi saya sudah ada input yang baik dan kita akan adunkan kedua-dua pengalaman itu untuk menyusun agenda 15 tahun akan datang yang dipanggil Melaka 2035

"Kita juga mahu lihat responden, keperluan dan persepsi rakyat terhadap pentadbiran kerajaan negeri, selain cuba memahami keperluan rakyat serta inisiatif yang memberi impak kepada mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Adly berkata, dengan adanya seminar itu kerajaan negeri dapat membuat penilaian ke atas agenda yang dilaksanakan dalam tempoh satu tahun pentadbiran kerajaan PH sekali gus merangka dasar untuk maju ke hadapan dalam tempoh 5, 10 dan 15 tahun akan datang.

"Dalam tempoh setahun pentadbiran PH kerajaan negeri turut memuktamadkan dasar perumahan dan dasar harga baharu bagi perumahan.

"Kita yakin dan percaya, keputusan baharu ini memberikan impak yang baik kepada ekonomi negeri dan akan bentangkan Dasar Melaka 2035 kepada rakyat termasuk indikator yang ditambah baik," katanya.