Peluang tingkat literasi politik

Ikuti siaran langsung sidang media KRPPM-IGAR pada 16 Mei ini jam 11 pagi di semua platform digital Rasuah Busters, Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily.
Ikuti siaran langsung sidang media KRPPM-IGAR pada 16 Mei ini jam 11 pagi di semua platform digital Rasuah Busters, Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu lagi sejarah besar buat negara bakal dicatatkan apabila buat pertama kalinya ahli-ahli politik kerajaan, pembangkang, penyelidik, pakar dan para profesional akan duduk semeja bagi membincangkan secara kolektif input-input berkaitan reformasi yang boleh diputuskan di Dewan Rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, satu sidang media akan diadakan Selasa ini di Kumpulan Karangkraf oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR), bagi memperincikan lagi perbincangan mengenai perkara tersebut.

Menurut beliau, sudah tentu pelancaran program itu nanti akan meningkatkan literasi politik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Nurhayati
Nurhayati

Katanya, sudah sampai masa untuk rakyat Malaysia lebih memahami konsep demokrasi yang diamalkan di negara ini.

"Kita akan mengetengahkan bagaimana Parlimen Malaysia menyediakan platform KRPPM untuk rakyat Malaysia.

"Saksikanlah sidang media ini. Ia satu lagi sejarah besar buat negara. Rebutlah peluang ini kerana sebagai rakyat Malaysia, kita berhak untuk mengamalkan demokrasi dengan penuh berinformasi," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Program berkenaan akan disiarkan secara langsung di semua platform digital Rasuah Busters Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily.

Sidang media ini akan menampilkan Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pengerusi KRPPM - IGAR, Syed Ibrahim Syed Noh dan Timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Pakar Ekonomi dan Politik, Dr Edmund Terence Gomez; Pengasas Undi18, Tharma Pillai serta Pengasas Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel.

Dalam pada itu, pakar KRPPM, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, dengan pelancaran program kelak, ia akan memberi kesedaran kepada rakyat mengenai komitmen wakil-wakil rakyat mengenai isu urus tadbir yang baik dan rasuah.

Bekas menteri kabinet itu berkata, ia akan menambah keyakinan rakyat terhadap usaha bersungguh-sungguh bagi mengatasi rasuah.

Syed Hamid
Syed Hamid

"Tambahan ia amat baik kerana mesti ditunjukkan dalam soal rasuah semua pihak sama ada aktivis sivil dan parti politik bersama mengembeleng tenaga dan fikiran untuk menghapuskan rasuah,” katanya.

Penubuhan KRPPM-IGAR yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 April lalu bertujuan untuk menggubal dan memperkasa polisi serta dasar berkaitan antirasuah dan tadbir urus negara untuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan menyekat penyalahgunaan kuasa melalui gabungan kolektif ahli Parlimen, senator, masyarakat sivil dan pakar-pakar dalam bidang berkaitan.