Tiada penglibatan pelajar sekolah dalam Geng 1804

Dakwaan dipercayai palsu berkenaan yang menjadi tular di laman Facebook, baru-baru ini
Dakwaan dipercayai palsu berkenaan yang menjadi tular di laman Facebook, baru-baru ini
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menafikan dakwaan yang mengatakan terdapat pelajar sekolah terlibat dalam kegiatan kongsi gelap dan jual beli dadah sekitar Bukit Indah, Iskandar Puteri, baru-baru ini.

Perkara itu menjadi tular selepas satu kenyataan dimuat naik seorang pengguna Facebook dalam media sosial tersebut yang menuduh seorang individu lain telah menjadi dalang dalam merekrut pelajar sekolah untuk terlibat dalam kongsi gelap.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, satu laporan telah diterima pihaknya dari seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun pada 19 April lalu.

Menurutnya, dalam laporan berkenaan, lelaki itu memberitahu seorang individu tidak dikenali telah memuat naik gambarnya bersama status menyatakan dirinya adalah pengedar dadah dan individu bertanggungjawab menarik pelajar sekolah untuk terlibat dalam kongsi gelap dikenali Geng 1804.

"Hasil semakan dan siasatan yang dijalankan, tidak wujud nama kumpulan 1804 dan pengadu hanya mempunyai kes lampau bersabit Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana bergaduh pada 2017.

"Selain itu, kami percaya kes ini berkait rapat dengan isu dalam kalangan ahli kongsi gelap. Individu yang membuat laporan bersama dua rakannya berusia 27 dan 29 tahun telah direman tiga hari bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dzulkhairi berkata, pada masa sama, pihaknya juga sedang giat membuat mengesan suspek yang menyebarkan kenyataan di laman sosial berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (Fitnah Jenayah) yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

"Kes ini juga akan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan Haram 1966 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.