Terengganu sedia bantu kontraktor tempatan sertai ECRL

Ahmad Samsuri (duduk, tengah) bersama jawatankuasa PKMMT di Primula Beach Hotel, di sini hari ini.
Ahmad Samsuri (duduk, tengah) bersama jawatankuasa PKMMT di Primula Beach Hotel, di sini hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Persatuan kontraktor Terengganu diminta untuk menyenaraikan kontraktor dan pengkhususan bidang masing-masing, bagi membolehkan kerajaan negeri menilai keupayaan mereka untuk turut sama terlibat dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia bagi membolehkan kerajaan negeri menjadi pemudah cara dalam berunding dengan pihak Kerajaan Pusat dan kontraktor utama bagi projek mega berkenaan.

Menurutnya, beliau percaya jika kontraktor tempatan bekerja secara bersama dengan menghantar kertas kerja berkumpulan, ia ‘lebih kuat’ dan meyakinkan, seterusnya memberikan manfaat besar kepada semua pihak.

“Kalau kontraktor ini bergerak berasingan, mungkin akan ada kekurangan dan kelemahan tertentu, sebab itu saya ingin melihat kemampuan dan kepakaran yang ada pada kontraktor-kontraktor Terengganu ini.

“Sebolehnya kita nak mereka bergerak secara berpasukan, jadi masing-masing ada hasilnya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Terengganu (PKMMT) Kali Ke-43 Tahun 2019 di Primula Beach Hotel, di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia negeri Terengganu, Datuk Nasir Ibrahim Fikri.

Jelas Ahmad Samsuri, ada banyak pengkhususan yang boleh direbut oleh kontraktor tempatan, melibatkan kerja-kerja awam, mekanikal atau elektrikal.

“Kerja awam ni termasuklah menyediakan tapak infrastruktur, jalan dan ‘soil treatment’. Walaupun barangan luar dibawa masuk, kita masih memerlukan kepakaran tempatan, tambahan pula kita akan ada dua ‘spur line’ yang diteruskan di Terengganu ini.

Artikel Berkaitan:

“Semua ini adalah peluang untuk kontraktor-kontraktor kita. Kita nak memudahkan urusan, supaya kontraktor negeri ini yang mendapat projek di Terengganu. Kita akan libatkan semaksimum mungkin kontraktor yang terlibat.

“Kalau syarikat kontraktor yang besar, mereka mungkin ada kepakaran dalam pelbagai perkara. Tapi, bagaimana pula dengan nasib kontraktor kita yang kecil-kecil ini? Mereka juga ada kepakaran tapi dalam bidang-bidang tertentu. Ini yang kita nak memudahkan supaya mereka melengkapi sesama sendiri dengan menggabungkan kepakaran,” katanya.

Di Terengganu terdapat lebih 4,500 kontraktor yang berdaftar dengan persatuan. Terdapat empat stesen penumpang dalam laluan baharu ECRL di Terengganu iaitu Kampung Raja, Kuala Terengganu, Pengkalan Berangan dan Kemasik manakala dua stesen lagi adalah untuk kargo dan penumpang iaitu Stesen Chukai dan Dungun.

Projek yang menelan belanja RM44 bilion itu akan melalui Selangor (Pelabuhan Klang), Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan (Kota Bharu) dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026.