Dadah dalam paket serbuk minuman terkenal dirampas

Narenasagaran (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dari sindiket berkenaan.
Narenasagaran (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dari sindiket berkenaan.
A
A
A

GEORGETOWN- Sindiket memproses dan membungkus dadah ke dalam paket serbuk minuman berjenama berjaya ditumpaskan dalam dua serbuan di negeri ini, Rabu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, lima ahli sindiket termasuk seorang wanita Vietnam ditahan dalam serbuan terhadap sebuah kereta dan rumah di Jelutong di sini.

Menurutnya, kesemua tangkapan berusia lingkungan 24 hingga 55 tahun itu ditahan pada 24 April lalu, antara jam 11 hingga 11.55 malam.

"Tangkapan itu berjaya dibuat selepas polis menahan sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki di Pulau Tikus. Susulan daripada tangkapan lelaki itu, polis menyerbu sebuah rumah di Jelutong dan berjaya menahan tiga lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing.

"Hasil pemeriksaan, kita mendapati rumah di Jelutong itu dijadikan tempat untuk memproses dan membungkus semula dadah ke dalam paket minuman jenama terkenal.

"Hasil pemeriksaan, kita merampas 276 paket serbuk minuman disyaki mengandungi dadah jenis MDMA (381 gram), ketamin (1,217 gram) dan 2,000 pil ekstasi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang tadi.

Beliau berkata, polis turut merampas 5,070 pil Eramin, 521 batang rokok mengandungi ganja, 47 gram syabu dan peralatan memproses serbuk minuman.

Artikel Berkaitan:

Polis turut merampas peralatan memproses dadah di rumah yang diserbu.
Polis turut merampas peralatan memproses dadah di rumah yang diserbu.

"Nilai keseluruhan rampasan RM338,250. Turut disita, sebuah kereta jenis Nissan Almera bernilai RM32,000; wang tunai RM2,700 dan sebuah akaun bank yang mempunyai wang bernilai RM17,718. Nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM52,418.

"Siasatan lanjut mendapati, wanita Vietnam berusia 29 tahun itu merupakan teman wanita kepada dalang sindiket tersebut yang berusia 49 tahun. Kesemua mereka menjalankan aktiviti ini sejak tiga bulan lalu," katanya.

Mengulas lanjut mengenai modus operandi sindiket berkenaan, Narenasagaran berkata, sindiket itu dipercayai memasukkan serbuk dadah yang diproses ke dalam bungkusan minuman segera berjenama sebelum dijual kepada pelanggan.

"Siasatan awal mendapati, mereka akan membuka paket minuman dan memasukkan dadah ke dalam serbuk minuman segera tersebut. Dipercayai mereka akan bungkus semula (seal) dan menjual kepada pelanggan mereka.

"Sebungkus minuman ini dijual dengan harga RM200 dan dijual di pusat hiburan. Dadah ini dipercayai untuk pasaran tempatan. Kita akan menghantar semua serbuk minuman ini ke Jabatan Kimia untuk dibuat analisis bagi mengetahui kandungan serbuk berkenaan," katanya.

Beliau berkata, jika dadah tersebut berjaya dijual di pasaran, ia mampu menampung bekalan untuk 15,800 penagih.

"Kesemua suspek yang tidak bekerja itu ditahan reman sehingga 1 Mei ini untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.