Presiden Pakistan kritik penahanan Imran Khan

Arif Alvi. - Foto AFP
Arif Alvi. - Foto AFP
A
A
A

NEW DELHI - Presiden Pakistan, Arif Alvi pada Khamis melahirkan kebimbangan terhadap penahanan bekas perdana menteri, Imran Khan dan pergolakan yang berlaku di negara itu.

"Saya terkejut dan resah dengan keadaan yang sedang melanda negara itu yang berpunca daripada penahanan dan layanan terhadap bekas PM Imran Khan," katanya.

Imran telah diseret oleh anggota pasukan separa tentera ketika beliau hadir untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi Islamabad pada Selasa.

Kerajaan berkata, Imran telah ditahan oleh Biro Akauntabiliti Negara atas dakwaan lebih 100 kes termasuk rasuah dan keganasan.

Penyokong Imran memenuhi jalan-jalan raya di seluruh negara sebagai membantah penahanan Imran.

Tentera telah ditempatkan di Islamabad dan wilayah Punjab serta Khyber Pakhtunkhwa.

Perkhidmatan Internet telah disekat dan perhimpunan melebihi empat orang adalah dilarang.

Sekurang-kurangnya lapan orang telah terkorban setakat ini, menurut media tempatan.

Presiden Pakistan yang tidak mempunyai kuasa eksekutif, menggesa penyelesaian secara politik dan bukannya dengan "paksaan dan tangkapan" untuk menamatkan krisis yang semakin memuncak.

"Kehilangan nyawa manusia amat dikesali dan wajar dikecam.

"Saya telah menyuarakan kebimbangan saya kepada kepimpinan politik dan ketenteraan dan berharap keadaan akan bertambah baik,” katanya. - Bernama