Penjajahan baharu Revolusi 4.0

Sejarah telah mencatat bahawa revolusi industri telah banyak menelan korban dengan matinya perusahaan dan organisasi besar.
Sejarah telah mencatat bahawa revolusi industri telah banyak menelan korban dengan matinya perusahaan dan organisasi besar.
A
A
A

KEHADIRAN Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang menekankan pembinaan teknologi realiti maya tanpa banyak menggunakan tenaga manusia pasti memberikan kesan terhadap pelbagai aspek kehidupan.

Ia merupakan penjajahan baharu sekiranya usahawan terutama dalam kalangan belia gagal menguruskan risiko ini.

Revolusi industri generasi ke-4 ini ditandai dengan kemunculan superkomputer, robot pintar, kenderaan tanpa pengemudi, pengubahsuaian genetik dan perkembangan neuroteknologi yang memungkinkan manusia untuk lebih optimumkan fungsi otak.

Justeru, IR 4.0 telah menemukan pola baharu ketika disruptif teknologi (disruptive technology) hadir begitu cepat dan mengancam perniagaan atau perusahaan yang sedia ada.

Sejarah telah mencatat bahawa revolusi industri telah banyak menelan korban dengan matinya perusahaan dan organisasi besar.

Dalam konteks alaf IR 4.0, kusahawanan bukan semata-mata menceburkan diri dalam perniagaan. Walaupun perniagaan merupakan sumber pendapatan yang terbaik, namun begitu para peniaga tidak mempunyai sebarang jaminan bahawa perniagaan yang mereka jalankan pasti akan berjaya.

Tidak semua orang mampu untuk menggandakan wang menerusi perniagaan yang diuruskan sendiri. Berdasarkan penyelidikan, dianggarkan 90 peratus daripada perniagaan yang dibangunkan akan lingkup dalam tempoh tiga tahun kerana kompetensi keusahawanan yang rendah, kekurangan pengalaman, modal pusingan yang rendah dan pengurusan yang tidak baik.

Statistik yang menakutkan ini telah menyebabkan wujudnya trauma yang besar dalam diri masyarakat, terutamanya belia Bumiputera, dalam usaha mereka untuk menceburkan diri dalam dunia keusahawanan.

Artikel Berkaitan:

Dalam konteks ini, program kompetensi keusahawanan di peringkat pendidikan tinggi adalah antara bidang cukup penting yang tidak ketinggalan menerima impak perkembangan terbaharu ini.

Keusahawanan

Keusahawanan dan pembangunan ekonomi saling berkait rapat. Pembangunan ekonomi negara antara lainnya bergantung kepada manusia yang mengejar peluang-peluang ekonomi berserta dengan keupayaan menggembleng faktor-faktor pengeluaran.

Keupayaan ini ada kaitannya dengan seseorang yang berorientasikan keusahawanan melalui daya inovatif, proaktif dan sanggup mengambil risiko melalui kegiatan keusahawanan sebagai usaha yang dapat membangunkan ekonomi.

Justeru itu, seseorang usahawan dianggap sebagai seorang pengubahsuai yang tidak akan membiarkan sistem ekonomi berada di dalam suasana beku.

Dari segi mikro, implikasi daripada kejayaan pembaharuan dan pembangunan ekonomi ini akan mampu meningkatkan kehidupan seseorang atau masyarakat keseluruhannya untuk lebih selesa.

Rezeki yang mencukupi dan melebihi (melimpah) akan menyumbang ke arah kehidupan dan kemakmuran bersama. Hubungan keusahawanan dengan rezeki melimpah ini meluaskan lagi pentingnya kompetensi keusahawanan.

Keusahawanan meningkatkan kualiti kehidupan dengan penemuan demi penemuan yang akan menghasilkan inovasi baharu. Inovasi baharu ini sudah tentunya mampu meluaskan lagi pilihan pengguna.

Oleh itu, keusahawanan mampu membanyakkan lagi peluang mata pencarian seseorang atau sesebuah organisasi.

Dari segi makro pula, keusahawanan mampu menggembleng dan menggunakan sumber-sumber untuk menyumbang ke arah peningkatan produktiviti kebangsaan.

Justeru itu, keusahawanan membantu ke arah pengagihan pendapatan yang lebih saksama.

Dari sudut sosial, keusahawanan juga membawa kebaikan melalui pengembalian sejumlah pendapatan kepada negara dalam bentuk pengembalian wajib mahu pun pengembalian sukarela.

Bagaimanapun, keupayaan dan kejayaan keusahawanan yang dinyatakan di atas, bergantung kepada kompetensi seseorang usahawan itu.

Kompetensi keusahawanan yang dimaksudkan adalah kemampuan diri seseorang untuk melaksanakan fungsi-fungsi keusahawanan dengan berkesan bersesuaian dengan tugasnya sebagai seorang usahawan.

Kompetensi atau kemampuan diri berbeza daripada istilah kemahiran. Kompetensi wujud hasil daripada pengaruh nilai-nilai hidup, sikap dan pendorongan atau desakan dalaman diri seseorang itu untuk melakukan tugasnya dengan sempurna dan penghasilan kerja yang cemerlang.

Sebaliknya, kemahiran pula diukur dari segi pencapaian akademik atau berdasarkan hasil kerjaya yang baik tanpa mengambil kira sikap dan motivasi terhadap sesuatu profesion yang diceburi.

Kompetensi keusahawanan ini bertunjangkan kepada tiga dimensi utama iaitu nilai inovatif, proaktif dan mengambil risiko.

Oleh itu, bersesuaian dengan matlamat ke arah keupayaan ini, dicadangkan bahawa seseorang yang ingin menceburi bidang keusahawanan perlu belajar dimensi ini.

Skim cepat kaya

Nilai-nilai hidup yang dipegang mempengaruhi proses kognitif dan isi kandungan kognitif seseorang, seterusnya mempengaruhi arah tujuan dalam proses membuat keputusan seharian.

Andai kata seseorang memperoleh RM5,000 wang tambahan, apakah keputusan yang bakal dilakukan? Bagi insan yang berfikiran sempit, mereka akan membelanjakan wang itu ke tempat yang tidak memberikan keuntungan. Seperti membeli produk yang tidak diperlukan atau lebih dikenali sebagai liabiliti.

Liabiliti adalah item yang mengeringkan wang poket kita tanpa memberi sebarang pulangan, sama ada pada jangka masa pendek atau panjang. Bagi insan yang mempunyai kompetensi keusahawanan, mereka akan memikirkan cara yang akan dapat menggandakan wang itu supaya menjadi lebih banyak.

Secara umumnya, bagi yang mempunyai kompetensi keusahawanan, mereka akan mencari jalan untuk menggandakan wang supaya dapat menjamin kelangsungan hidup dalam tempoh 20 hingga 50 tahun akan datang.

Bahayanya, bagi seseorang yang mempunyai kompetensi keusahawanan yang rendah, istilah penggandaan pulangan boleh memerangkap mereka ke jerat skim cepat kaya.

Skim cepat kaya sama ada skim Piramid atau skim Ponzi mahu pun yang berbau skim cepat kaya selalunya menjanjikan keuntungan atau pendapatan yang sangat besar hanya dengan penajaan ahli.

Bagaimanapun, terdapat kekaburan ‘dari mana’ atau ‘bagaimana’ pendapatan tersebut diperoleh. Ataupun, mereka langsung tidak menyatakan konsep pelaburan sesuatu skim itu.

Berdasarkan penyelidikan, skim cepat kaya yang turut ditawarkan dalam versi online amat rancak berlaku semasa ekonomi mengalami krisis. Skim ini bukan perniagaan atau perusahaan – tetapi perjudian. Di penghujung episod skim ini selalunya berakhir dengan cerita sedih – wang lesap.

Skim cepat kaya adalah salah dari segi undang-undang dan elakkan daripada terjebak menjadi ahli skim yang mencari tajaan kerana akhirnya kita membawa jemana ‘penipu’ selama-lamanya.

Pengurusan risiko

Sesuatu perusahaan atau syarikat memerlukan wang sebagai modal untuk terus maju dalam bidang yang diceburi. Oleh yang demikian, sebagai usahawan yang mempunyai kompetensi tinggi, adalah tanggungjawab kita untuk menguruskan risiko dalam menggandakan wang modal itu.

Untuk berjaya, perlu ada kemahiran bagaimana untuk melakukan siasatan bagi membuat kesimpulan yang jelas berhubung risiko sesebuah perusahaan.

Keseimbangan antara risiko dan ganjaran berkait langsung dengan setiap keputusan pelaburan yang dibuat. Kerana setiap keputusan perniagaan, kita sentiasa menghadapi risiko kemungkinan mengalami kerugian.

Cuma, tahap risiko itu berbeza-beza antara satu perusahaan dengan perusahaan yang lain. Seperti mana yang telah diketahui bahawa secara umumnya apabila semakin tinggi kadar pulangan yang dijangka diperoleh, maka risiko yang bakal ditempuhinya juga adalah tinggi.

Risiko juga boleh dikatakan sebagai satu peluang untuk rugi atau satu kemungkinan berlakunya sisihan antara pulangan yang dijangka dan pulangan yang diterima oleh seseorang pelabur dalam jangka masa tertentu.

Risiko juga boleh dikaitkan dengan kemungkinan pulangan sebenar sesuatu pelaburan yang berbeza daripada pulangan yang dijangkakan. Asasnya, lebih banyak risiko yang diambil maka banyaklah juga pulangannya. Tetapi jika dilihat maknanya secara tersirat ia membawa pengertian bahawa lebih banyak risiko yang diambil, maka banyaklah kerugian yang mungkin akan ditanggung.

Pengurusan risiko adalah suatu proses yang sistematik untuk mengenal pasti dan menilai risiko yang mungkin dihadapi oleh individu atau organisasi dan kemudian memilih dan melaksanakan teknik-teknik pengendalian risiko yang paling sesuai untuk mengawasi risiko yang telah dikenal pasti selaras dengan matlamat dan objektif individu atau organisasi tersebut.

Sekiranya nilai orientasi keusahawanan yang bertunjangkan dimensi inovatif, mengambil risiko dan proaktif dibudayakan dalam kehidupan harian, maka disiplin keusahawanan dicadangkan diperkasa dalam pendidikan untuk menongkah arus IR 4.0.

* Oswald Timothy Edward ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan, UiTM Johor