Tamatkan amalan lapuk biaya parti, lantik pemimpin - Bersih

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menamatkan amalan lapuk dengan membiayai operasi parti kerajaan dan memberi ganjaran kepada pemimpin mereka melalui pelantikan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau badan berkanun.

Sebaliknya, Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, kerajaan seharusnya membentuk sistem pendanaan awam parti politik yang demokratik, adil dan berakauntabiliti berdasarkan keperluan parti kerajaan dan juga pembangkang.

"Kami maklum bahawa parti perlu membiayai penggerak parti sepenuh masa, namun gaji mereka perlu dibiayai oleh parti atau entiti yang berkaitan mereka bukannya dengan wang rakyat.

"Malah, parti politik sepatutnya layak mendapat subsidi tahunan daripada pembayar cukai berdasarkan jumlah undi mereka dalam pilihan raya di persekutuan dan negeri.

"Kerajaan Madani justeru perlu tamatkan amalan lapuk membiayai operasi parti kerajaan dan memberi ganjaran kepada pimpinan parti melalui jawatan lumayan di GLC dan badan berkanun," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi satu kenyataan mengumumkan lima pengerusi baharu badan berkanun bawah kementeriannya.

Pengumuman itu menyaksikan bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkuat kuasa Isnin ini.

Selain Mahfuz, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil, pula dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Mengulas lanjut, Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, secara asas pihaknya mempunyai pendirian berbeza mengenai pelantikan di dalam badan berkanun berbanding GLC.

Ini kerana menurut kenyataan itu, lembaga berkanun ditubuhkan oleh kerajaan untuk melaksanakan perkhidmatan khusus yang tidak berdasarkan keuntungan semata-mata dan untuk memenuhi dasar kerajaan.

"Pendirian kami bahawa wakil rakyat tidak boleh dilantik ke dalam GLC kerana mereka dilantik untuk menjadi penggubal undang-undang dan berkhidmat di kawasan mereka.

"Memandangkan mustahak untuk memastikan lembaga berkanun menjalankan dasar kerajaan, adalah munasabah setiap kerajaan melantik mereka yang diyakini dan selari dengan hala tuju dasar kerajaan.

"Ini termasuklah ahli politik namun ahli politik tersebut perlu mempunyai kelayakan dan kompetensi yang bersesuaian dengan badan berkanun, namun ia perlu diminimumkan supaya tidak berlaku pertembungan kepentingan," katanya.

Selain itu, jawatankuasa itu turut menegakan, mereka yang dilantik ke badan berkanun perlu tertakluk kepada pemantauan dan semakan oleh Jawatankuasa Parlimen sebagaimana menteri dan timbalan menteri dipantau oleh ahli parlimen yang lain.

"Maka, Jawatankuasa Parlimen yang memantau kementerian di mana badan berkanun tertakluk di bawahnya perlu diketuai oleh ahli Parlimen pembangkang," katanya.