Irmohizam terima anugerah Hospitaliti dan Pelancongan terbaik

Irmohizam
Irmohizam
A
A
A

SHAH ALAM - Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim telah menerima Anugerah 'Malaysia’s Best Hospitality and Tourism Personalities of The Year 2023 -2024' di bawah kategori Anugerah Hospitaliti dan Pelancongan Kepimpinan Berimpak Positif.

Penganugerahan itu sempena Majlis HAPA® Awards Malaysia Series 2023 - 2024 yang berlangsung di Grand Ballroom, One World Hotel, Petaling Jaya.

Menurut WTCKL, ia diberikan atas peranan beliau yang menyumbang sehingga memberi impak secara signifikan terhadap kemajuan dan kejayaan industri Hospitaliti serta Pelancongan di Malaysia termasuk peringkat dunia.

“Pengiktirafan ini merupakan usaha berterusan beliau memperjuangkan ekonomi acara perniagaan di peringkat domestik dan antarabangsa sebagai Pengerusi Pameran dan Persidangan (C&E) Majlis Anggota Penasihat (MAC) World Trade Centers Association (WTCA) yang berpusat di New York, Amerika Syarikat.

“Beliau yang menerajui penjenamaan semula secara berskala besar pada tahun 2018 dan 2019 yang menggabungkan garis panduan jenama standard WTCA telah berubah dengan menaik taraf dewan serta pelbagai pengubahsuaian termasuk kemudahan tambahan seperti Co-Work @ WTCK,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

HAPA® bermatlamat untuk meningkatkan kualiti keseluruhan dan standard perkhidmatan hospitaliti Asia serta memberi inspirasi kepada kecemerlangan melalui pengiktirafan prestasi terbaik dalam industri.

Dalam pada itu, WTCKL berkata, pengiktirafan tersebut meletakkan beliau sebaris dengan nama-nama besar dalam industri yang turut menerima anugerah dalam majlis itu antaranya, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia International Trade and Exhibition Centre, Mala Dorasamy dan Pengurus Besar Sama-Sama Hotel Kuala Lumpur, Sundra Kulendra.

“Usaha beliau yang menerapkan teknologi dan inovasi telah membolehkan WTCKL berkembang lebih jauh dan mempercepatkan pertumbuhan dalam Acara Perniagaan (BE) dan industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan serta Pameran (MICE).

“Pencapaian ini turut mempromosikan elemen pelancongan mesra Muslim secara tidak langsung membolehkan Malaysia terus kekal dikenali sebagai salah satu hab pelancongan di peringkat antarabangsa,” katanya.