'Tahniah Dr Mahathir jadi ‘ketua umum’ PN' - MP PKR

Chean Chung
Chean Chung
A
A
A

SHAH ALAM - Pengaruh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dilihat semakin merosot sehingga terpaksa tunduk kepada Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chean Chung.

Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya itu, perkara itu semakin jelas apabila Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendedahkan kekayaannya sama seperti desakan Dr Mahathir.

Sebelum ini katanya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menandatangani Proklamasi Orang Melayu bersama Dr Mahathir.

“Kini, Faizal sebagai pimpinan kanan Bersatu pula mendokong kenyataan beliau. Jelas bahawa pengaruh Pas dan Bersatu dilihat makin merosot sehingga perlu bergantung kepada kekuatan Mahathir," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas Chean Chung, apa yang menghairankan beliau adalah tindakan tersebut dilihat seolah-olah telah mengabaikan buah pandangan daripada pemimpin tertinggi gabungan tersebut.

“Amat pelik juga pimpinan ulung mereka iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin telahpun diketepikan. Bukan itu sahaja, Ketua Pembangkang PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut terpinggir untuk memberikan ruang kepada Mahathir.

“Tahniah kepada Mahathir kerana beliau telahpun menjadi ‘ketua umum’ kepada PN!” kata beliau dengan sinis.

Baru-baru ini, Ahmad Faizal menyokong cabaran Dr Mahathir agar Anwar mengisytiharkan kesemua hartanya bagi membuktikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bersih dan tidak terlibat dengan penyalahgunaan kuasa.

Mengulas perkara itu, Chean Chung berkata, Anwar sebenarnya telah pun membuat pengisytiharan harta pada 9 November lalu iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Justeru katanya, dakwaan bahawa Anwar tidak melakukan pengisytiharan tersebut adalah tidak berasas.

“Walaupun Bersatu dan Pas seringkali melabelkan diri sebagai blok yang bersih dan beramanah, langkah-langkah membina budaya politik yang sihat dan telus ini tidak diamalkan.

“Malah, Presiden Bersatu (Muhyiddin) kini berhadapan dengan isu akaun parti yang dilambakkan dengan duit semasa negara berhadapan dengan krisis Covid-19 dan kini perlu menjawab di mahkamah,” ujarnya.

Chean Chung mengingatkan kepada rakyat supaya berhati-hati dengan agenda pihak tersebut kerana mereka tidak memfokuskan sebarang usaha untuk memajukan ekonomi dan meringankan beban rakyat.