[VIDEO] Isytihar harta: Anwar perlu sahut cabaran Tun M

Ahmad Faizal melayani tetamu yang hadir ke majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Negeri Perak anjuran Bersama Parlimen Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak di sini pada Selasa.
Ahmad Faizal melayani tetamu yang hadir ke majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Negeri Perak anjuran Bersama Parlimen Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyahut saranan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengisytihar kesemua hartanya.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tidak adil untuk meminta orang lain mengisytiharkannya tetapi Anwar sendiri tidak berbuat demikian.

Menurutnya, rakyat sudah pasti mahu mengetahui kekayaan dimiliki Ahli Parlimen Tambun itu ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.

"Jadi saya amat bersetuju bahawa jangan kita sentiasa menuding jari kepada satu-satu pihak tetapi diri sendiri tak berani nak menunjukkan bagaimana beliau mampu hidup berpolitik dengan begitu mewah sepanjang berapa lama di luar kerajaan.

"Hari ini tak ambil gaji dan sebagainya tapi 'still maintain wonderful life', jadi saya fikir memang patutlah. Rakyat juga nak tahu dari mana datang duit, siapa sponsor (penaja) helikopter, siapa penaja billboard gergasi dan sebagainya semua nak tahu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Negeri Perak anjuran Bersama Parlimen Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak di sini pada Selasa.

Pada Isnin, Mahathir mencabar Anwar untuk mengisytihar kesemua hartanya bagi membuktikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bersih dan tidak terlibat dalam penyalahgunaan kuasa.

Cabaran dibuat selepas kurang senang dengan tindak-tanduk Perdana Menteri itu yang akhir-akhir ini sering mengulangi pendirian konon ramai pemimpin dahulu kaya kerana rasuah dan mempunyai berpuluh-puluh kotak bukti berkaitan tuduhan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, parti itu sudah pun mengagihkan tugasan kepada negeri-negeri terlibat untuk membantu jentera pilihan raya di enam negeri.

Menurutnya, jentera akan bergerak ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi tumpuan.