"Mai mana sejuta orang terjejas masalah air" - Sanusi

Muhammad Sanusi (dua kiri) menunjukkan laporan penuh SADA berkaitan jumlah akaun yang mengalami masalah pada musim perayaan baru-baru ini.
Muhammad Sanusi (dua kiri) menunjukkan laporan penuh SADA berkaitan jumlah akaun yang mengalami masalah pada musim perayaan baru-baru ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menolak dakwaan bahawa hampir sejuta pengguna mengalami masalah bekalan air semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Menurutnya, laporan penuh Syarikat Air Darul Aman (SADA) mendedahkan jumlah akaun yang terjejas adalah sebanyak 7,222 akaun dan jumlahnya jauh lebih kecil berbanding keseluruhan 645,041 akaun di negeri ini.

"Ada sesetengah orang suka bising-bising ini seolah-olah berlaku krisis besar air di Kedah. Daripada jumlah akaun ini, akaun yang terjejas berjumlah 7,222 dan terpaksa dihantar bekalan air menggunakan lori, dari segi peratusan pula hanya 1.12 peratus dari keseluruhan akaun yang terjejas.

"(Baru-baru ini) ada akhbar melaporkan satu juta pengguna terjejas, Mereka yang buat dakwaan itu sila bertaubat kerana memberikan gambaran keterlaluan, kalau 7,222 akaun terjejas dan lima orang pakai satu akaun, kalau didarab baru 35,000 orang terjejas.

"Katakan anak ramai 10 orang termasuk ibu bapa, kalau didarab baru lebih 70,000 orang terjejas. Jadi 'mai' mana yang kata sampai sejuta orang terjejas?," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Jelasnya, Sada serius membantu pengguna yang terjejas dengan menyediakan bantuan penghantaran air ke lokasi berkenaan menggunakan lori biarpun terpaksa menampung kos yang tinggi.

Beliau berkata, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi tujuan tersebut setakat Mac lalu dan berharap proses pembinaan lima buah Loji Rawatan Air (LRA) yang sedang berjalan akan siap mengikut waktunya bagi membantu mengurangkan kos penghantaran lori bantuan bekalan air.

"Sebuah kerajaan, sebuah syarikat, sebuah operator, mereka mahu kos yang ditanggung rendah tapi oleh kerana berlaku penangguhan hampir dua tahun pada 2018, maka akaun yang terpaksa dihantar dengan lori ini meningkat balik," ujar beliau lagi.

Tambahnya, mengikut rekod kos penghantaran lori bantuan bekalan air ke kawasan terjejas pada 2015 adalah sebanyak RM307,510; diikuti 2016 (RM 5.8 juta); 2017 (RM 8.1 juta); 2018 (RM 567,000); 2019 (RM1.9 juta); 2020 (RM3.08 juta); 2021 (RM5.07 juta); dan 2022 (RM6.6 juta).

Menurutnya, kos penghantaran air menggunakan lori menurun pada tahun 2018 berikutan LRA Pokok Sena sudah berfungsi sepenuhnya namun kembali meningkat pada tahun berikutnya berikutan kajian semula terhadap pembinaan lima LRA baharu yang dilakukan kerajaan pada ketika tersebut.

Mengulas mengenai perkembangan pembinaan lima LRA di Kedah, Muhammad Sanusi berkata, LRA Pelubang yang dilaksanakan anak syarikat kerajaan negeri, Bina Darulaman Berhad telah mencapai 12.41 peratus tahap siap pada 30 April lepas namun kemajuan sebenar yang dicapai adalah 13.43 iaitu 1.02 peratus melebihi kadar ditetapkan.

"Begitu juga dengan LRA-LRA lain yang semuanya berada di landasan tepat, kecuali LRA Sungai Limau yang cuma lewat 0.41 peratus berbanding jadual asal.

"Sepatutnya mereka cecah 11.39 peratus pada 30 April tetapi yang dicapai cuma 10.98 dan kita ambil tindakan dengan memanggil kontraktor untuk segerakan apa yang patut," katanya.