Cabaran hadapi cuaca panas ekstrem

Purata suhu harian di seluruh Malaysia sebelum ini antara 21 hingga 32 darjah Celsius kini meningkat kepada 35 hingga 37 darjah Celcius. - Gambar hiasan 123RF
Purata suhu harian di seluruh Malaysia sebelum ini antara 21 hingga 32 darjah Celsius kini meningkat kepada 35 hingga 37 darjah Celcius. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

JAM baharu menunjukkan angka 10 pagi tetapi bahang panas sudah terasa apabila berada di luar.

Purata suhu harian di seluruh Malaysia sebelum ini antara 21 hingga 32 darjah Celsius kini meningkat kepada 35 hingga 37 darjah Celcius. Suhu panas dikesan di kebanyakan kawasan di seluruh negara susulan peralihan monsun sehingga pertengahan Mei.

Paling terkesan ialah beberapa lokasi di Pantai Timur hingga mengakibatkan dua kanak-kanak kehilangan nyawa kerana strok haba baru-baru ini.

Biarpun suhu panas akibat peralihan monsun diramal akan berakhir tidak lama lagi, negara dijangka bakal disusuli dengan El Nino kuat hingga Julai ini.

Fenomena El Nino kuat dijangka bermula Jun apabila cuaca akan berubah disebabkan kehadiran monsun barat daya yang dicirikan dengan keadaan kering dan panas.

El Nino tidak asing di Malaysia. Ia melanda negara ini sebanyak 12 kali iaitu sejak 1951 hingga 1952.

Kejadian yang paling teruk ialah pada 1997 hingga 1998 apabila catatan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

Pun begitu, langkah Jabatan Meterologi Malaysia yang sentiasa mengeluarkan peringatan menerusi laman sosial boleh dijadikan sebagai panduan dan ingatan agar meningkatkan kewaspadaan kita.

Saban hari MetMalaysia mengeluarkan laporan status cuaca panas di seluruh negara dan memaparkan lokasi yang berada pada tahap berjaga-jaga yang mana suhu maksimum harian berada pada 35 hingga 37 darjah Celcius selama tiga hari berturut-turut.

Suhu panas membahang boleh menyebabkan seseorang mengalami dehidrasi teruk. Impak yang paling ditakuti ialah keletihan atau kelesuan, pitam atau pengsan dan kekejangan.

Mereka yang terkesan dengan suhu tinggi juga akan mengalami strok haba sehingga boleh mengakibatkan koma atau kematian.

Justeru, penting untuk menghindari aktiviti di luar untuk mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas terutamanya golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak lima tahun ke bawah dan individu berumur 65 tahun ke atas.

Kementerian Kesihatan Malaysia tidak ketinggalan menasihatkan individu berumur 40 tahun ke atas agar berwaspada kerana golongan ini berhadapan risiko strok haba 10 kali ganda berbanding dengan mereka yang lebih muda.

Ambil langkah berwaspada jika mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, masalah pernafasan, penyakit jantung atau individu yang sedang mengambil ubat-ubatan kerana mereka mungkin terjejas.

Tidak ketinggalan individu yang mengalami tekanan darah tinggi dan penyakit kelenjar tiroid.

Wanita hamil dan ibu yang menyusukan anak juga golongan yang berisiko kerana mereka cenderung untuk mengalami dehidrasi.

Selain itu, perhatikan juga tahap kesihatan ahli keluarga. Jangan mengambil remeh tanda-tanda sakit yang dialami ketika cuaca panas ini.

Jika kulit dirasai panas, kering dan merah, suhu badan meningkat, mengadu sakit kepala, tidak berpeluh, nadi laju serta muntah atau loya, itu tanda mereka mengalami strok haba. Usah berlengah untuk mendapatkan rawatan segera.

Dalam keadaan cuaca panas kini, minumlah air kosong dengan banyak tanpa mengira tahap aktiviti fizikal yang dilakukan. Jangan tunggu sehingga rasa dahaga. Minum sekurang-kurangnya dua liter sehari untuk memastikan tubuh terhidrat.

Penulis tertarik langkah proaktif sebuah sekolah yang menggalakkan ibu bapa menyediakan botol air kepada anak-anak mereka.

Sekolah Kebangsaan Seberang Perak menganjurkan kempen Jom Minum Air – 1 Murid 1 Botol Air yang bertujuan menghindarkan muridnya daripada strok haba.

Selain itu langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menasihatkan pihak sekolah tidak menganjurkan aktiviti di luar bilik darjah dan membenarkan murid memakai baju-T sukan ketika cuaca panas amat bertepatan kerana sekurang-kurangnya ia boleh mengekang risiko strok haba.

Malah arahan daripada Ketua Pengarah Pendidikan KPM, Datuk Pkharuddin Ghazali berkaitan mengutamakan peruntukan untuk penyelenggaraan kipas di sekolah sangat baik di kala negara berhadapan suhu panas ini.

Tidak dinafikan, perubahan cuaca dan pemanasan suhu persekitaran yang berlaku adalah di luar kawalan manusia.

Sekurang-kurangnya dengan mengambil langkah berjaga-jaga dan pengurusan risiko yang baik, kehilangan nyawa boleh dihindari.

*Azma Mohd Lazim ialah wartawan portal SinarPlus