Tidak mustahil Pas kembali ‘berkawan’ dengan DAP - Mohamad

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

PENDANG - Tidak mustahil sekiranya Pas akan kembali membentuk tahaluf siyasi bersama DAP dalam masa terdekat.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika ia berlaku kerana Pas kini ‘berkawan’ dengan musuh politiknya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, sehubungan itu Pas tidak berhak mengkritik mana-mana pakatan politik lain kerana parti itu juga mempunyai rekod bersekutu dengan parti politik lain demi kelangsungan politiknya sebelum ini.

“Jangan jatuh kerana ketakutan terhadap DAP yang ditimbulkan Pas dalam pilihan raya akan datang. Jangan takut untuk mengundi Pakatan Harapan (PH). Percayalah, tidak mustahil Presiden Pas akan laungkan pula ‘DAP kawan kita’ dalam tempoh dua tiga tahun nanti,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Madani Kedah 2023 di Kubur Panjang, Pendang pada malam Isnin.

Hadir sama, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.

Mohamad yang juga bekas Timbalan Presiden Pas berkata, pendirian Pas tidak konsisten dan ia terbukti selepas parti Islam itu memutuskan untuk bekerjasama dengan bekas pesaingnya, Dr Mahathir sekali gus mengetepikan keyakinan politik mereka selain mendedahkan sikap kepura-puraan Pas.

"Kita boleh lihat ketika ini Pas semakin rapat dengan Mahathir untuk Proklamasi Melayu. Ini adalah ideologi yang mereka lawan ketika itu.

"Apa yang berlaku dengan pendirian mereka sebelum ini? Sebenarnya mereka akan ubah pendirian masing-masing berdasarkan keadaan," ujarnya.

Pada 1998, Pas dan DAP membentuk gabungan Barisan Alternatif bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Rakyat Malaysia untuk menentang gabungan pemerintah ketika itu (BN) sewaktu Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Pada 2008, gabungan itu digantikan dengan penubuhan Pakatan Rakyat yang menggabungkan PKR, Pas dan DAP.

Bagaimanapun pada 2015, gabungan itu dibubarkan selepas DAP memutuskan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud selepas parti itu menerima usul Muktamar Pas ke-61 dan memutuskan hubungan dua parti itu sekali gus menamatkan pakatan politik Pas-DAP.

Dalam pada itu, Mohamad secara sinis berterima kasih atas perikatan Pas dengan UMNO sebelum ini dan menyifatkan parti itu tidak boleh mengkritik PH apabila bersekutu dengan UMNO.

“Saya perlu berterima kasih kepada mereka (Pas) kerana mesra dengan UMNO melalui Muafakat Nasional sebelum ini, sekarang mereka tidak boleh kata apa-apa tentang kami (PH) bersekutu dengan UMNO.

"Bolehkah anda bayangkan 'fatwa' yang akan mereka keluarkan jika ini tidak berlaku? Pada masa itu jika anda sokong UMNO, mereka akan tuduh anda murtad!," katanya lagi.

Pada 2018, Pas dan UMNO menubuhkan Muafakat Nasional untuk menentang PH yang membentuk kerajaan pusat selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Sementara itu, Mohamad berkata, cubaan Pas untuk menanam rasa takut dan fanatik agama dalam kalangan umat Islam di negara ini berpotensi membawa kepada kejatuhan negara.

“Malangnya kerana kelakuan mereka, sekarang ada orang Islam yang mengembangkan pemikiran fanatik ini.

“Fikiran fanatik yang sama telah memusnahkan banyak negara seperti Sudan, Syria dan Iraq, nasib baik kita tidak pernah melihat pertempuran fizikal berlaku di sini,” jelasnya.