MYSA terima Anugerah Kecemerlangan Geospatial Dunia

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah, menerima Anugerah Kecemerlangan Spatial Dunia 2023, yang dimenangi MYSA, bagi kategori penggunaan dan penyelesaian teknologi geospatial angkasa dalam bidang keselamatan makanan dan pertanian. - Foto MYSA
Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah, menerima Anugerah Kecemerlangan Spatial Dunia 2023, yang dimenangi MYSA, bagi kategori penggunaan dan penyelesaian teknologi geospatial angkasa dalam bidang keselamatan makanan dan pertanian. - Foto MYSA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah menggondol Anugerah Kecemerlangan Geospatial Dunia 2023 bagi kategori penggunaan serta penyelesaian teknologi geospatial angkasa dalam bidang keselamatan makanan dan pertanian, pada Jumaat.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan anugerah itu diberikan sempena persidangan Forum Geospatial Dunia 2023 yang berlangsung dari 2 hingga 5 Mei 2023 di Pusat Konvensyen dan Hotel Postillion, Pusat Dagangan Dunia Rotterdam, Belanda.

Kemenangan itu diraih melalui inovasi yang diperkenal Malaysia dengan memanfaatkan teknologi geospatial angkasa penderiaan jauh dalam membangun serta mengoperasikan Sistem Maklumat Geospatial Padi (MakGeoPadi).

Menurut MOSTI, sistem yang telah memanfaatkan 192,663 pesawah itu telah dioperasikan secara berterusan sehingga kini dan mampu membantu pihak berkuasa berkaitan mengurus dan memantau tanaman di 12 jelapang padi negara secara lebih cekap serta berkesan menggunakan kelebihan teknologi geospatial angkasa penderiaan jauh.

"Penyertaan inisiatif MYSA ini telah berjaya meyakinkan pihak juri untuk dipilih sebagai pemenang berbanding lebih 140 penyertaan yang diterima oleh pihak penganjur dari seluruh dunia.

"Sistem MakGeoPadi yang dipilih memenangi anugerah ini telah dibangunkan melalui kerjasama strategik dengan Jabatan Pertanian Malaysia, Lembaga Pertubuhan Peladang serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia pada tahun 2010,” katanya.

Menurut kenyataan itu, anugerah sama pernah diberikan kepada Pertubuhan Makanan dan Pertanian yang berada di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2022.

"Kemenangan ini membuktikan bahawa Malaysia juga memiliki kemampuan setanding negara maju dalam mencipta inovasi baharu melalui teknologi geospatial angkasa bagi tujuan penyelesaian masalah serta pengurusan kehidupan rakyat dan pembangunan negara.

"Pengiktirafan ini juga menunjukkan usaha Malaysia melalui MOSTI dan MYSA dalam memperkasa bidang sains dan teknologi angkasa sentiasa relevan serta seiring dengan matlamat pelaksanaan Dasar

Angkasa Negara 2030 khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur dan aplikasi angkasa yang memberikan impak positif kepada keselamatan, ekonomi dan sosial negara,” katanya. - Bernama