'Pulangkan kereta Honda saya' - Shahrir

Shahrir
Shahrir
A
A
A

JOHOR BAHRU - Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk segera memulangkan kereta Honda Civic Hybrid miliknya yang dirampas sebelum beliau didakwa di mahkamah berhubung pengubahan wang haram berjumlah RM1 juta.

Menurutnya, permintaan itu selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sudah melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Januari lalu.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, semalam genap empat bulan Mahkamah Tinggi menggugurkan kes SPRM terhadap beliau.

"Sehingga kini, SPRM masih belum menyerah balik kereta yang mereka rampas daripada keluarga sebelum saya didakwa di mahkamah.

"Semasa perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya dan SPRM panggil begitu ramai saksi termasuk jurujual, kerani syarikat jualan kereta itu, pegawai bank dan pegawai JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) Putrajaya, semata-mata membuktikan saya membeli kereta itu," katanya dalam Facebook miliknya.

Shahrir berkata, sehari sebelum kesnya digugurkan, beliau ada menulis mengenai Timbalan Pendakwa Raya SPRM agak kecetekan fahaman mengenai undang-undang.

Dakwa beliau, keesokannya, Timbalan Pendakwa Raya menyatakan kepadanya supaya jangan panggil mereka cetek fahaman.

"Baiklah. Kalau mereka tidak cetek dari segi fahaman undang-undang, mengapa pula sudah empat bulan dan mereka belum lagi menyerah kembali Honda Hybrid yang dirampas.

"Ia bukan kerana kecetekan. Tapi kerana tidak pegang kepada cogan kata SPRM sendiri iaitu Amanah, Adil dan Tegas. Buat malu je bertaraf sebuah suruhanjaya," ujar beliau.

Beliau berkata, mahkamah bertindak lebih pantas apabila menyerah kembali wang jamin dan pasport kepadanya selepas beliau dilepas dan dibebaskan.

Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan supaya Shahrir dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan gagal mengisytihar RM1 juta diterima daripada Najib melalui sekeping cek kepada LHDN.

Pihak pendakwaan turut memberitahu mahkamah mereka tidak berhasrat meneruskan pendakwaan kes tersebut terhadap Shahrir.