MPV Exco Terengganu dipancitkan di Melaka

Rakaman CCTV menunjukkan pelaku memancitkan tayar kenderaan Dr Azman.
Rakaman CCTV menunjukkan pelaku memancitkan tayar kenderaan Dr Azman.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tayar kenderaan peribadi Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim dipancitkan individu tidak dikenali.

Kejadian itu disedari kira-kira jam 8.30 pagi tadi ketika beliau mahu keluar dari hotel di Ayer Keroh, Melaka untuk pulang ke Terengganu.

“Pagi ni bila keluar dari penginapan di Ayer Keroh, tengok tayar depan sebelah kanan kereta saya pancit. Mula-mula memang saya ingat ia kes tayar pancit biasa. Call kawan-kawan minta tolong hantar mekanik tayar.

“Tapi bila diteliti lebih dekat, baru perasan penutup angin tidak ditutup kemas. Tengok dalam penutup angin ada batu kecil,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menyedari sesuatu tidak kena, Dr Azman yang juga ADUN Jabi memohon kerjasama petugas hotel untuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati ia perbuatan khianat individu yang dipercayai pemandu bas sebelah keretanya.

Menurut nya, rakaman itu jelas menunjukkan individu itu melakukan sesuatu pada tayar kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima beliau yang diparkir bersebelahan sebuah bas malam tadi.

“Memang jelas, ia angkara pemandu bas lelaki yang parkir bersebelahan kereta saya malam tadi. Pagi ini bila bas nak keluar, ada nampak dia kena reverse (undur) sikit, tapi tak lah sampai tak boleh keluar.

“Saya pun tak tahu apa motif dia pancitkan tayar kereta saya. Buka penutup angin tayar depan sebelah kiri pun rupanya ada batu kecil tapi angin tak sempat keluar habis,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Berikutan kejadian itu, Dr Azman menghubungi balai polis berhampiran dan menyerahkan kepada pihak pengurusan hotel untuk membuat laporan bersama bukti CCTV yang ada.

Dr Azman berada di Melaka selama dua hari bersama rombongan DUN Jabi bagi menjayakan program Jauhlah Tarbiyah dan dijadualkan pulang ke Terengganu hari ini.