Nak bayar kos selenggara padang pun dah merungut - TMJ

Tunku Ismail
Tunku Ismail
A
A
A

PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempersoalkan kemampuan pasukan untuk membayar kos penyelenggaraan sekiranya sudah mempunyai stadium sendiri.

Ia selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil dengan cadangan mahu membantu pasukan Liga Malaysia (Liga-M) untuk mendapatkan pemilikan penuh stadium.

Menurut Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), ada pasukan yang merungut apabila terpaksa mengeluarkan dana RM200,000 setahun untuk kos penyelenggaraan rumput sekiranya menukar dari jenis Cow Grass kepada rumput Zeon Zoysia sekali gus menyaksikan kemungkinan untuk memiliki stadium sendiri itu hanya sebagai 'cakap kosong'.

"RM200,000 setahun selenggara padang pun tak boleh terima dan cakap tak mampu, macam mana nak ada stadium sendiri? Siapa nak selenggara? Cakap dan nak buat sesuatu tu biar berdasarkan fakta. Semua cakap dan memberi gambaran tak betul kepada penyokong.

"Kos selenggara stadium JDT RM7 juta setahun. Itu pun kami terkial kial nak bayar dan selenggara. Kalau stadium lebih kecil kemungkinan RM4 juta atau RM5 juta setahun.

"Sekarang soalan saya, jika kos penyelenggaraan padang RM200,000 ribu lebih setahun pun dah merungut apatah lagi RM5 juta.

"Dan jika stadium mempunyai teknologi canggih macam stadium baru yang di sebut sebut sebelum ini yang akan dibina. Kos penyelenggaraan mencecah RM30 atau RM60 juta setahun? Kelab boleh bayar?," katanya dalam laman Instagramnya pada Khamis.

Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuat tawaran penukaran padang secara percuma di setiap stadium negeri, tetapi dipandang sepi oleh pasukan dengan alasan kos penyelenggaraan yang terlalu tinggi.

Dalam masa sama, Tunku Ismail menegaskan keperluan untuk diadakan forum terbuka agar dapat memberikan gambaran yang betul kepada penyokong dalam pelbagai perkara termasuk isu stadium tersebut.

"ltu pasal saya cakap berkali-kali adakan forum terbuka untuk penyokong dengan semua presiden dan CEO kelab.

"Bagi penyokong tanya apa saja soalan. Sampai ke hari ni semua diam, takda yang berani. Penyokong sekarang boleh nilai sendiri kenapa semua takut? Apa yang nak disembunyikan? Nilai sendiri.

"Cakap memang senang,bila ajak berdepan takut. No transparency. Forum terbuka CEO dan pemilik kelab dengan penyokong sangat diperlukan demi ketulusan untuk mengelakkan kaki temberang dan kaki kencing," katanya.