Usahawan Kelantan dibawa teroka pasaran Thailand

Md Anizam (tiga dari kanan) melawat gerai jualan pelbagai sambal keluaran Thailand.
Md Anizam (tiga dari kanan) melawat gerai jualan pelbagai sambal keluaran Thailand.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan bakal membawa 100 usahawan tempatan dari negeri Cik Siti Wan Kembang ke Thailand dalam usaha meningkatkan pemasaran produk makanan halal negeri ini ke negeri Gajah Putih itu pada Ogos ini.

Exco Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, program pertukaran antara kedua-dua negara itu akan turut melibatkan warisan seni dan budaya negeri ini seperti wau bulan serta wayang kulit.

Menurut beliau, perkara itu dirancang bersama Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) untuk mempromosikan produk usahawan ke negara tersebut sebelum ini.

Md Anizam
Md Anizam

“Hubungan baik yang terjalin antara Kelantan dan Thailand membuka laluan untuk kami membawa produk-produk halal ke Thailand.

“Kita akan adakan mungkin Jom Makan Makanan Tradisional Kelantan atau Malaysia yang akan diadakan sama ada di Hatyai, Songkla atau Yala yang mempunyai penerimaan tinggi terhadap produk-produk halal,” katanya selepas merasmikan Festival Jom Makan Thai Food 2023 di Mydin Tunjong, di sini, pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Konsul Jeneral Konsulat Jeneral Diraja Thai, Marisa Indramangala.

Md Anizam berkata, festival itu menjadi medium dan mekanisme penting dalam merapatkan hubungan kedua-dua negara khususnya dalam aspek ekonomi, dagangan, sosial serta kebudayaan.

“Usahawan-usahawan tempatan juga berpeluang meneroka teknologi makanan dan produk-produk yang digunakan oleh Thailand termasuk dari segi pembungkusan serta kepelbagaian yang ditampilkan.

“Kami menjangkakan kira-kira 25,000 pengujung akan menghadiri festival yang berlangsung empat hari bermula hari ini sehingga Ahad,” katanya.

Md Anizam (dua dari kanan) mencuba jus minuman buah-buahan di di Festival Jom Makan Thai Food 2023.
Md Anizam (dua dari kanan) mencuba jus minuman buah-buahan di di Festival Jom Makan Thai Food 2023.

Berkait perkembangan festival berkenaan, sebanyak 32 usahawan Thailand menawarkan lebih 56 jenis produk dan makanan dari negara terbabit.

“Tahun ini kita pilih untuk mengadakan festival di tempat tertutup iaitu di pusat beli-belah berbanding tapak asal di Stadium Sultan Muhammad ke-IV bagi menggelak cuaca panas dan memberi lebih keselesaan kepada pengunjung.

“Festival dianjurkan bersama Konsulat Jeneral Diraja Thai di Kota Bharu, Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Perdagangan Thailand dan Mydin,” katanya.