Ajak masyarakat dekati al-Quran

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke World #QuranHour di Masjid Sultan Ahmad Shah UIAM, Gombak pada tahun lepas.
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran World #QuranHour adalah inisiatif terbaik untuk membuka mata masyarakat terus mendampingi al-Quran dengan menggunakan konsep baca, faham dan amal.

Qari terkemuka negara, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, walaupun kempen berkenaan berlangsung dalam tempoh satu jam namun ia masih mampu memupuk minat orang ramai mendalami al-Quran.

“Walaupun World #QuranHour berlangsung selama satu jam tetapi pengisian melalui sesi tadabbur surah tertentu dapat mengukuhkan kefahaman ke dalam jiwa kita sehingga hari ini.

“Melalui cara ini secara langsung semangat mencintai al-Quran semakin bercambah dalam diri pembaca,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Guru al-Quran dan Tarannum Maahad Tahfiz Al-Ammar, Rantau, Negeri Sembilan itu yang merupakan qari bagi World #QuranHour tiga tahun berturut-turut sejak dimulakan pada 2016 berkata, terdapat banyak elemen yang diketengahkan dalam tempoh satu jam World #QuranHour berlangsung antaranya elemen solidariti (bacaan al-Quran secara serentak mengikut kumpulan), elemen bacaan yang dipimpin pembawa panji atau qari bagi menghayati al-Quran dan elemen bertadabbur.

“Program tahun lalu menekankan setiap bacaan qari akan diberi penjelasan mesej ayat al-Quran oleh pentadabbur.

“Jadi dalam masa satu jam berinteraksi dengan al-Quran sudah memadai untuk mengambil ibrah seterusnya mengamalkan daripada mesej surah pilihan yang menjadi tema World #QuranHour pada tahun itu,” katanya.

Menurutnya, tema World #QuranHour untuk tahun ini membawakan misi surah al-Kahf adalah satu surah yang sangat dekat dengan masyarakat.

“Membaca surah al-Kahf memang ada dinyatakan dalam hadis dan sunat dibaca pada hari Jumaat.

“Antara hadis utama yang menerangkan mengenai surah al-Kahf ini adalah daripada Abu Darda, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca 10 ayat daripada awal surah al-Khaf nescaya dipelihara daripada fitnah dajal" (Riwayat Muslim).

“Cumanya surah al-Kahf jarang dipraktikkan dalam masyarakat kerana ia agak panjang dan kalau dibaca selepas solat Maghrib ia akan berpanjangan sehingga waktu Isyak,” katanya.

Bagaimanapun, masyarakat Islam hari ini mulai sedar dan melazimi bacaan surah al-Kahf setiap Jumaat.

“Surah al-Kahf mengandungi ayat lebih panjang iaitu 110 ayat berbanding surah Yasin yang hanya 83 ayat. Jadi menjadi kelaziman masyarakat kita setiap malam Jumaat baca surah Yasin. Tetapi tidak ada dalil yang menyatakan perlu baca surah Yasin pada malam Jumaat.

“Adalah tidak menjadi satu kesalahan membaca surah Yasin kerana ia adalah budaya di samping ada kelebihan yang tersendiri,” katanya.

Surah al-Kahf menjadi tema World #QuranHour yang akan diadakan pada 30 Mei bersamaan 25 Ramadan 1440H ini di Masjid Sultan Alam Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor bermula jam 11 pagi.

Program World #QuranHour yang dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas itu akan menghimpunkan umat Islam sedunia membaca al-Quran secara serentak selama satu jam.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia