Tiada kampung yang ketinggalan, kata ADUN Johor Lama

Rosleli ketika melawat lokasi tapak cadangan projek membina jalan baharu dari Kampung Johor Lama ke persimpangan Felda Air Tawar 2.
A
A

KOTA TINGGI - Setiap kampung di persisir Sungai Johor di sini, tidak lagi akan ketinggalan dari arus pembangunan berikutan projek membina jalan baharu dari Kampung Johor Lama ke persimpangan Felda Air Tawar 2 bagi fasa pertama bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari berkata, sebanyak RM35 juta telah diluluskan bagi projek berkenaan yang mana bakal menjadi laluan alternatif buat orang ramai untuk ke Kampung Johor Lama dan Teluk Sengat.

Menurutnya, cadangan tersebut telah beliau bawa ke Dewan Negeri dan hasil perbincangan, kerajaan bersetuju untuk membina jalan baharu yang bakal memberi manfaat kepada penduduk kawasan perkampungan tersebut.

"Peruntukan untuk fasa pertama telah diluluskan sebanyak RM35 juta manakala baki dalam RM100 juta pula, pihak Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) bersetuju untuk terus memohon dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, mengikut pelan asal jalan baharu itu hanya melalui Kampung Johor Lama, Kampung Guntung Nenas, Kampung Panchor, Kampung Sungai Sembilang, Nanyo dan keluar ke simpang Felda Air Tawar 2.

Namun katanya, beliau telah mencadangkan agar jalan berkenaan terus ke Kamlung Antong dan keluar di simpang Kampung Asahi atau jalan Air Tawar-Desaru dan ia telah dipersetujui oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Kejora.

"Persetujuan ini membawa makna tiada kampung dipersisir Sungai Johor yang akan tertinggal dari arus pembangunan. Apabila jalan ini siap maka limpahan ekonomi juga dapat dirasai penduduk melalui kehadiran orang luar yang menggunakan jalan tersebut.

"Disamping memendekkan masa perjalanan, kemudahan baharu ini juga dapat melonjakkan tempat-tempat bersejarah di perkampungan terlibat.

"Umum mengetahui bahawa kawasan Johor Lama kaya dengan kesan sejarah termasuklah di Kampung Panchor dan lain-lain," katanya.