Cabaran dan realiti golongan pekerja

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

Ramadan semakin jauh meninggalkan kita. Pelbagai kisah pahit manis disajikan sepanjang bulan mulia itu. Pastinya kisah peniaga di bazar Ramadan antara yang mencuri tumpuan.

Walaupun ada peniaga tersenyum riang melihat hasil jualan laris sepanjang bulan lalu, namun terdengar juga kisah peniaga mengeluh kerana kekurangan pembeli hingga makanan yang dijual terpaksa dibuang begitu sahaja. Tidak kurang ada pembeli yang kecewa apabila makanan dibeli sudah basi, rosak dan tidak boleh dimakan.

Menjelang Syawal pula, terdapat juga kisah individu di media sosial yang terpaksa menjual kelengkapan rumah bagi mendapatkan sedikit wang untuk kegunaan pada hari raya. Komen-komen netizen turut menunjukkan rasa simpati terhadap nasib individu berkenaan yang menempuh onak duri kehidupan di ibu kota.

Sedar atau tidak, keadaan itu secara tidak langsung menggambarkan ekonomi negara masih suram apabila ramai dibelenggu masalah kewangan, dibuang kerja dan masih mencari peluang pekerjaan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran di Malaysia pada Februari lalu ialah seramai 591,900 orang.

Walaupun ia menurun kepada 3.5 peratus berbanding 596,100 pada Januari, penulis masih menganggap ia satu jumlah yang tinggi.

Timbul persoalan, adakah mereka yang sudah mendapat kerja memperoleh ‘habuan’ yang sesuai dan adil dengan pengalaman dan kemahiran masing-masing? Tambahan pula dalam keadaan ekonomi ketika ini, kenaikan harga barangan agak melampau.

Kita disajikan dengan keluh kesah masyarakat mengenai barang keperluan harian yang dimasukkan dalam troli tidak setimpal dengan wang yang dikeluarkan. Malah, kenyataan itu turut disokong data Bank Dunia yang menyatakan bahawa Malaysia mempunyai Pendapatan Negara Kasar (GNI) perkapita sebanyak AS$27,607 (RM123,252) pada tahun 2019. Ini meletakkan Malaysia dalam kurungan negara berpendapatan sederhana berdasarkan ukuran Bank Dunia.

Pada tahun 2020, peratusan rakyat Malaysia yang hidup di bawah paras kemiskinan negara sebanyak RM2,208 sebulan atau kira-kira AS$11 (RM49) seorang sehari adalah pada 8.4 peratus.

Isunya, mampukah isi rumah mengekalkan taraf hidup yang layak berdasarkan hak asasi manusia dengan pendapatan sebanyak RM2,208 sebulan terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang? Jelas sekali, jawapannya adalah negatif, sekali gus membuktikan kadar kemiskinan di negara ini lebih tinggi daripada data berkenaan.

Penasihat Buruh Antarabangsa, Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D'Angelus dalam kenyataan sempena sambutan Hari Pekerja lalu turut mendesak kerajaan memperkenalkan undang-undang menyediakan perlindungan sosial yang lebih besar untuk rakyat Malaysia.

Antara saranan beliau ialah menyediakan insurans dan faedah pengangguran, perlindungan dan hak kesatuan sekerja yang lebih luas, serta undang-undang yang lebih ketat bagi mengawal pemberhentian pekerjaan. Selain itu, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pengurusan kanan dan pengarah syarikat yang melanggar undang-undang buruh negara.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan perasmian sempena Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya memberi jaminan kerajaan akan menilai dan mengkaji semula gaji penjawat awam yang disifatkan masih tidak memuaskan. Perdana Menteri berkata, kajian itu membabitkan pekerja gred rendah dan menengah dalam sektor itu.

Justeru, adalah diharapkan selepas ini bukan sahaja kakitangan kerajaan terutama pekerja B40 mendapat habuan lebih baik, malah pekerja swasta turut mendapat nikmat yang sama. Perlu juga diberi penekanan terhadap gaji permulaan rendah bagi mereka yang memulakan kerjaya sebelum gaji minimum dilaksanakan pada tahun 2013.

Situasi tersebut juga antara faktor menyumbang kepada jumlah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mereka berumur 40 hingga 54 tahun kurang daripada RM10,000.

Selain itu, faktor lain yang turut menyumbang kepada perkara itu ialah cabaran struktur gaji, dengan 44 peratus penyumbang KWSP mempunyai pendapatan kurang dari RM2,000 dan 81 peratus mempunyai pendapatan kurang daripada RM5,000.

* Mohd Nasri Jamaludin ialah Editor Pengisian Berita Online