Kastam Johor nafi dakwaan kakitangan tidak efisien di CIQ KSAB

Kastam Johor menafikan dakwaan bahawa kakitangannya tidak efisien dalam menjalankan tugas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini, baru-baru ini. - Gambar hiasan
Kastam Johor menafikan dakwaan bahawa kakitangannya tidak efisien dalam menjalankan tugas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini, baru-baru ini. - Gambar hiasan
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Johor menafikan dakwaan bahawa kakitangannya tidak efisien dalam menjalankan tugas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini, baru-baru ini.

Pengarahnya, Misbahudin Parmin berkata, setakat ini tiada aduan diterima pegawai penguat kuasa jabatan itu membabitkan kejadian yang berlaku pada Jumaat lepas, seperti yang tular di media sosial.

Beliau berkata, siasatan telah dijalankan dan video tular itu didapati merujuk kepada kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertindak melakukan pemeriksaan pasport sebelum ke kawasan pemeriksaan barang JKDM.

"Merujuk kepada satu video tular melalui sebuah aplikasi perkongsian video yang ditujukan kepada pegawai kastam di KSAB, kejadian itu didapati berlaku di Bus Terminal Import di kompleks berkenaan.

"Bagaimanapun, JKDM dan JIM merupakan dua organisasi signifikan khususnya dalam mengawasi pintu keluar dan masuk negara, namun peranan utama dan tugasan kedua-dua agensi penguatkuasaan ini adalah berbeza," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan di media sosial dan mendapatkan maklumat terkini berkaitan JKDM dengan melayari laman web www.customs.gov.my.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 18 saat di aplikasi TikTok yang memaparkan berlaku kesesakan di CIQ KSAB berserta kapsyen yang mempersoalkan kapasiti petugas kastam di kaunter. - Bernama