Banduan dadah wajar dapat pengampunan - MASAC

MASAC
MASAC
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) menyeru kepada Kerajaan Perpaduan untuk memilih 25 peratus atau suku daripada jumlah banduan kes berkait dadah di Malaysia untuk diberi pengampunan.

Menurut Setiausaha Agung MASAC, Raja Azizan Suhaimi, perkara itu tertakluk kepada warganegara dan bukan warganegara yang telah berjaya menjalani lebih separuh daripada hukuman mereka.

Beritahu beliau, pengampunan dipilih itu akan diajukan kepada Lembaga Pengampunan untuk pertimbangan diraja oleh Yang di-Pertuan Agung (YDPA) atau sultan negeri setelah memperoleh laporan sulit daripada Hakim Bicara daripada kes bermula dan panel Rayuan di mana kes terhenti.

“Mereka ini dipilih bagi semua kes dadah sama ada yang menggunakan dadah, menjual dadah atau kes berulang.

“Dengan syarat mendapat sokongan dan rekomen daripada pihak Penjara Malaysia kerana telah dilihat dan dipercayai berjaya proses pemulihan program di penjara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Raja Azizan memaklumkan, sekiranya pengampunan itu dilaksanakan ia akan mengurangkan kesesakan di penjara seluruh negara.

Tambahnya lagi, ia juga akan mengurangkan kos selenggaraan banduan dadah yang diyakini dan dipercayai oleh Jabatan Penjara Malaysia bahawa golongan itu telah berubah dan boleh dikembalikan kepada masyarakat.

Ujar beliau, pengampunan diraja dilihat sebagai peluang kedua kehidupan yang perlu diperluas kepada banduan dadah yang berada di dalam penjara dan telah diyakini berjaya menjalani program pemulihan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Dalam pada itu, Raja Azizan turut berharap agar bekas pesalah dadah yang telah berjaya bebas daripada dadah bagi tempoh lima tahun ke atas turut dicadangkan untuk pengampunan di seluruh negara.

“Ia perlu disusuli dengan memadamkan rekod dadah mereka dari sistem daftar jenayah sebagai peluang kedua menjalani kehidupan normal.

“Bukan itu sahaja, ia juga memudahkan golongan itu untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan minat dan kelayakan bekas pengguna atau penjual dadah di negara ini,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan sokongan terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana kesemua banduan berhak kepada proses pengampunan diraja.