Wanita keldai dadah temui hidayah dalam penjara

ANGELA
ANGELA
A
A
A

KOTA BHARU - Angkara ditipu kartel dadah antarabangsa, seorang wanita terpaksa menghabiskan seluruh kehidupannya di dalam penjara akibat kesalahan menyeludup lima kilogram (kg) kokain ke negara ini pada tahun 2005.

Wanita warganegara Filipina yang hanya mahu dikenali sebagai Angela, 43, itu terjerat dengan kegiatan keldai dadah di negara Thailand itu ketika berusia 25 tahun.

“Pada mulanya saya ditawarkan bekerja sebagai pemandu pelancong tetapi sekumpulan ejen menipu saya apabila menyuruh membawa bagasi-bagasi ‘kosong’ ke negara seperti Brazil, Hong Kong dan Malaysia.

Tirai besi di blok wanita yang menjadi tempat tinggal Angela akibat kesalahan mengedar dadah.
Tirai besi di blok wanita yang menjadi tempat tinggal Angela akibat kesalahan mengedar dadah.

“Saya dapat melarikan diri namun kembali menyerah dan mengikut arahan kumpulan sindiket untuk menghantar bagasi itu melalui penerbangan ke luar negara dan menerima upah AS$2,000 (RM8,900) setiap trip,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Penjara Pengkalan Chepa di sini pada Isnin.

Cerita ibu kepada seorang anak perempuan berusia 23 tahun itu lagi, semasa perjalanan yang kelima untuk menghantar sebuah bagasi dari Brazil ke Malaysia, dia ditangkap oleh polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor dan dadah kokain dikesan ada dalam bagasi yang dibawanya.

“Saya dibicarakan di mahkamah sebelum didapati bersalah kerana menyeludup 5kg kokain. Mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati pada tahun 2010.

“Saya merayu sehingga ke Mahkamah Rayuan, namun gagal. Pada 2015, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberikan saya pengampunan daripada hukuman tali gantung kepada menjalani hukuman penjara sepanjang hayat,” katanya sebak dan berharap supaya dibebaskan.

Banduan bersama-sama melakukan kerja persiapan inti biskut.
Banduan bersama-sama melakukan kerja persiapan inti biskut.

Menurut wanita yang kini fasih berbahasa Melayu dialek Kelantan itu, sepanjang berada dalam tahanan, dia mengalami mimpi pelik iaitu lancar membacakan surah Maryam walaupun tidak pernah mengenali bahasa Arab.

“Satu lagi mimpi, saya memakai telekung sembahyang bercorak bunga dan duduk di atas sejadah yang besar sambil menghadap tulisan Allah dalam bahasa jawi di dinding.

“Saya kemudian terjaga dari tidur dan menangis lalu berjumpa seorang ustazah yang membawa saya memeluk Islam pada 2011. Saya kini tenang menjalani hukuman dan berasakan inilah agama saya hingga ke akhir kehidupan ini,” ujar sambil mengesat air mata.

Selepas 12 tahun bergelar muslimah dan 18 tahun berada dalam penjara, Angela berjaya khatam al-Quran sebanyak dua kali dan mampu menghafal surah-surah lazim seperti al-Fatihah, al-Kaafiruun, al-Asr, al-Ikhlass, al-Falaq serta al-Kauthar.

Hasil biskut yang dihasilkan oleh para banduan di Pengkalan Chepa.
Hasil biskut yang dihasilkan oleh para banduan di Pengkalan Chepa.

“Dulu, saya cemburu tengok penghuni lain sembahyang dan mengaji al-Quran dengan suara yang sedap misalnya membaca ayat Kursi serta Yasin.

“Sekarang, giliran saya pula berasa gembira dan sangat seronok apabila dapat solat berjemaah dan berpuasa bersama-sama mereka pada bulan Ramadan kemudian meraikan Aidilfitri. Semoga saya dapat kembali bebas dari penjara ini pada suatu hari nanti dengan izin Allah SWT,” luahnya.