11 tahun beraya tanpa keluarga

Mohamad Fauzi (kanan) mengakui tanggungjawab menjaga penghuni warga emas menyebabkan dirinya terpaksa berkorban untuk menyambut lebaran bersama ahli keluarga di Perak.
Mohamad Fauzi (kanan) mengakui tanggungjawab menjaga penghuni warga emas menyebabkan dirinya terpaksa berkorban untuk menyambut lebaran bersama ahli keluarga di Perak.
A
A
A

KUANTAN - Demi menjaga 24 penghuni Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Seri Permai Taman Tas di sini, pengurus rumah kebajikan itu sanggup berkorban kegembiraan apabila hampir 11 tahun tidak pulang ke kampung halaman di Sungkai, Perak untuk menyambut lebaran bersama keluarga tersayang.

Perasaan rindu untuk bertemu ahli keluarga dan sanak saudara terpaksa diketepikan Mohamad Fauzi Ramli kerana tiada petugas lain mampu menggantikan dan menguruskan penghuni di rumah kebajikan terbabit.

Dia yang berusia 34 tahun mengakui sayu setiap kali mendengar takbir raya, namun perasaan itu dilepaskan kepada penghuni di sini dengan menganggap mereka seperti keluarga sendiri.

"Tahun pertama hingga ketiga saya bekerja di sini (rumah kebajikan) memang terasa, sebab kita jaga keluarga orang. Saban tahun dan bertahun-tahun perasaan sedih itu hilang sebab rasa tanggungjawab kita korbankan jugalah rasa nak raya berjumpa keluarga.

Mohamad Fauzi
Mohamad Fauzi

"Kita korban nak jumpa kawan-kawan berjumpa, sanak saudara begitulah. Saya sudah reda dengan situasi ini dan ahli keluarga di Perak juga memahami," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Mohamad Fauzi yang belum berkahwin memberitahu, ahli keluarga pada awal tidak dapat menerima tindakan dirinya tidak pulang menyambut lebaran bersama, namun selepas diperjelaskan mengenai tanggungjawab besar dipukul dalam menguruskan rumah kebajikan orang tua membuat mereka faham.

"Bila saya pikul amanah dan tanggungjawab, saya tidak boleh lepas tangan, saya kena betul-betul menjaga mereka (penghuni) tiada petugas lain lagi di sini dan hanya saya seorang sahaja.

"Bila sudah lama uruskan mereka, jiwa saya sudah sebati dalam menjaga mereka, orang kata alah bisa tegar biasa. Begitulah saya gigih menjaga penghuni rumah ini yang terdiri daripada gelandangan, orang tua disisihkan keluarga dan sebagainya," jelasnya.