Jangan abai dakwah jalanan

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Muhammad Azim)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Muhammad Azim)
A
A
A

SHAH ALAM - Meskipun platform dakwah kini semakin luas dan pelbagai, namun method dakwah jalanan masih mempunyai kepentingan dalam penyebaran Islam kepada orang ramai.

Pendakwah, Muhammad Azim Abdullah Suhaimin berkata, dakwah jalanan merupakan kaedah yang mana pendakwah terlibat akan bertemu dengan orang ramai terutama bukan Islam di tempat awam seperti di luar kompleks beli belah atau stesen kereta api untuk menyampaikan mesej agama.

Jelas beliau, menerusi cara tersebut, individu yang terlibat dengan dakwah berpeluang mendekati orang ramai dengan lebih rapat dan mendengar lebih lanjut tentang sebarang pertanyaan yang ingin diajukan.

“Dakwah jalanan berupaya menjadi platform untuk memperkenalkan diri dan membangunkan hubungan kepercayaan dengan masyarakat.

“Sebarang salah faham juga dapat diketahui dengan lebih pantas kerana kita ada sesi perbualan. Pendakwah juga dapat mengetahui maklumat baharu tentang sebarang isu yang berlaku di jalanan sebab kadang-kadang ada informasi terkini yang kita terlepas pandang.

“Memang tidak dinafikan, kaedah dakwah sudah pelbagai, ada yang dalam bentuk penulisan atau di media sosial. Namun, cara penyampaiannya itu berbeza, di media sosial kita tidak mampu untuk mengajak orang dengan lebih dekat,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Muhammad Azim, dakwah jalanan juga mampu menguji dan melatih seseorang pendakwah mengenai gaya komunikasi dan cara pengendalian situasi dengan lebih baik.

“Bila berdakwah di jalanan ini, ada waktunya orang terima atau tidak di samping itu terdapat provokasi yang kita kena tangani dengan bijak. Ia turut menguji niat kita. Justeru mereka yang terlibat kena jernihkan niat terlebih dahulu.

“Apa-apa pun, dakwah ini mempunyai kepentingan yang besar kerana inilah cara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.

"Bayangkan jika mereka tidak buat dengan teknik yang sedemikian, adakah Islam akan tersebar luas seperti hari ini? Sudah tentu tidak," ujarnya.

Muhammad Azim turut berpandangan, kaedah tersebut sebenarnya pada masa yang sama dapat mengeratkan hubungan sesama pendakwah muslim yang kadang-kadang terdapat perbezaan pemikiran dan pendekatan dalam menyampaikan mesej agama.

“Di sinilah kita belajar, walau apa jua perbezaan yang berlaku ia tidak mengenepikan persaudaraan Islam antara satu sama lain,” tegasnya.