Kanak-kanak 11 tahun maut, mangsa pertama strok haba

Muhamad Syamil (kanan) bersama keluarga pada sambutan Aidilfitri. Foto: Media Sosial .(Gambar kanan: Basikal yang ditunggang oleh Muhamad Syamil untuk berhari raya kelihatan di kediaman keluarganya di Kampung Perupok, Bachok.)
Muhamad Syamil (kanan) bersama keluarga pada sambutan Aidilfitri. Foto: Media Sosial .(Gambar kanan: Basikal yang ditunggang oleh Muhamad Syamil untuk berhari raya kelihatan di kediaman keluarganya di Kampung Perupok, Bachok.)
A
A
A

BACHOK - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dari Kampung Perupok di sini menjadi mangsa pertama strok haba apabila maut pada Selasa.

Mangsa, Muhamad Syamil Aqil dikatakan meninggal dunia jam 9.27 pagi semasa sedang mendapatkan rawatan di sebuah klinik.

Ibu mangsa yang dikenali sebagai Wanie berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan mengesahkan anak lelaki sulung daripada tiga beradik itu maut akibat strok haba dan dihidrasi.

"Doktor yang merawat memberitahu buah pinggang, jantung anak sudah hangus. Di dalamnya sudah kosong, air dan darah dalam badan sudah kering," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, pada Khamis.

Menceritakan kembali kejadian tersebut, dia memberitahu anak lelakinya itu dilihat aktif berbasikal menyambut Aidilfitri pada hari raya pertama dan kedua.

"Pada raya ketiga, dia mengalami demam biasa dan cirit birit.

"Saya memantau suhu badan anak setiap satu jam sekali, namun ia tidak tinggi hanya sekitar 37 hingga 38 darjah sahaja.

"Hari raya keempat selepas Subuh, anak kelihatan lemah. Saya kemudian mengajak suami membawanya ke klinik, tetapi tiba-tiba anak mengalami kekejangan," ujarnya.

Menurut dia, selepas Muhamad Syamil menghembuskan nafas terakhir di klinik, jenazahnya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat.

Jenazah pelajar darjah lima Sekolah Kebangsaan (SK) Perupok itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai, selepas Isyak pada Selasa.