Selangor intai peluang lebur rekod tanpa kalah Sabah

Cheng Hoe - Foto Facebook Selangor FC
Cheng Hoe - Foto Facebook Selangor FC
A
A
A

PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui bakal berdepan tugas sukar apabila menentang Sabah dalam aksi Liga Super di Stadium Likas pada Khamis.

Menurutnya, walaupun menyedari kekuatan dimiliki Sabah, namun skuad Gergasi Merah tetap akan cuba melakar keputusan positif sekali gus meleburkan rekod The Rhinos yang masih belum tewas di laman sendiri dalam saingan Liga Super musim ini.

"Satu perlawanan yang sukar sebab kalau kita lihat pasukan Sabah berada dalam satu prestasi terbaik terutama apabila mereka bermain di laman sendiri dengan sokongan padu penyokong mereka.

"Namun, kalau kita betul-betul bersedia, kita mampu mencipta keputusan positif untuk terus mengekalkan rentak kemenangan dalam saingan liga," katanya.

Untuk rekod, Sabah masih belum tewas di laman sendiri dalam saingan Liga Malaysia musim ini dengan kali terakhir tewas adalah pada aksi separuh akhir Piala Malaysia kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) musim lalu.

Dalam pada itu, Cheng Hoe juga memuji disiplin yang ditunjukkan para pemainnya terutama apabila tidak dapat bercuti panjang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Setakat ini latihan lancar dan kita kena singkatkan tempoh hari raya. Pemain terpaksa kena korbankan (hari raya) sebab kita ada perlawanan yang cukup penting menentang sabah.

"Saya sebagai jurulatih juga selalu memberi nasihat kepada pemain untuk jaga rehat dan jaga makan sepanjang hari raya ini.