Hindari sikap 'biar papa asal bergaya'

Remaja khususnya sanggup menggunakan khidmat pembayaran ansuran bagi mendapatkan telefon pintar yang diingini. - Gambar hiasan 123RF
Remaja khususnya sanggup menggunakan khidmat pembayaran ansuran bagi mendapatkan telefon pintar yang diingini. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

RHB Bank Bhd (RHB) pada Rabu melalui nota penyelidikannya mendedahkan bahawa ramai penggunanya tidak membayar semula hutang pembiayaan telefon pintar.

Ini bermakna, mereka yang menggunakan khidmat pembayaran ansuran bagi mendapatkan telefon pintar yang diingini tidak membayar ansuran itu.

Menurut salah seorang peniaga telefon pintar, Muhammad Danial Maududi Burhanordin kepada Sinar Harian, rata-rata mereka yang tidak membuat pembayaran ansuran tersebut adalah golongan remaja.

Kebanyakan remaja pada masa kini menggunakan kaedah tersebut memandangkan gaji yang diterima mereka hanya sekadar cukup makan disebabkan kos sara hidup yang tinggi.

Tambah Muhammad Danial, ia terutama bagi mereka yang berumur daripada 18 hingga 21 tahun yang baharu sahaja menamatkan pembelajaran di sekolah menengah dan sedang belajar di universiti.

Ini bermakna, mereka yang berumur 18 tahun berkemungkinan hanya melakukan kerja sambilan setelah tamat belajar.

Setelah itu, mereka masuk ke universiti dan tidak lagi mempunyai pekerjaan serta pendapatan.

Pendapat penulis, bagi anak muda yang masih belum mempunyai pendapatan, tidak digalakkan untuk berbuat sedemikian kerana ia hanya akan mendatangkan beban pada kemudian hari.

Jangan kerana hanya mahu nampak mewah ataupun mencuba sesuatu yang lebih canggih, hutang keliling pinggang.

Bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Jangan sesekali biar amalkan peribahasa biar papa asal bergaya.