Umno, Pas sepentas...penyatuan 812 disemarakkan

Noran Zamani ketika berceramah di Dataran Pas Teluk Kumbar, Pulau Pinang kelmarin
Noran Zamani ketika berceramah di Dataran Pas Teluk Kumbar, Pulau Pinang kelmarin
A
A
A

ALOR SETAR - Himpunan bantah ICERD yang berlangsung di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu terus disemarakkan melalui program-program ceramah dan himpunan di peringkat negeri.

Naib Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Noran Zamini Jamaluddin berkata, beliau sepentas bersama kepimpinan Pas Pulau Pinang di Dataran Pas Teluk Kumbar Selasa lalu bagi memastikan obor penyatuan 812 di ibu negara beberapa hari lalu terus subur.

Noran Zamini berkata, jemputan untuk berceramah bersama Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Fauzi Yusof dan Adun Penaga, Yusni Mat Piah diterima dengan terbuka demi kepentingan Melayu dan Islam di negara ini.

"Saya tidak ada masalah untuk sepentas dengan Pas demi memastikan penyatuan terus menyala sehingga matlamat 812 tercapai malah sebenarnya himpunan di Kuala Lumpur sebenarnya menjadi mesej jelas kepada kerajaan PH hari ini.

"(Hari ini) tiada pilihan lain untuk Melayu bangkit, tiada parti lain yang boleh disandarkan harapan selain kepada Umno dan Pas sendiri. Selepas PRU14, kita perlu muhasabah untuk melihat sendiri kesan dan di mana kedudukan orang Melayu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Noran Zamini berkata, kepimpinan Pas Pulau Pinang sendiri senada dengannya yang mahu obor penyatuan tersebut terus disuburkan malah beberapa program lagi yang sama akan diadakan di beberapa tempat termasuk di Kuala Ketil pada esok.

Jelasnya, beliau bersama beberapa penceramah Umno Malaysia telah mendapat lampu hijau melalui kepimpinan tertinggi parti untuk bergerak bersama penceramah Pas turun padang di seluruh negara.

"Saya sendiri telah bergerak sejak berakhirnya Perhimpunan Agung Umno 2018 pada September lalu malah beberapa program bersama Pas di kawasan saya, Pokok Sena juga akan diaturkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai penerimaan akar umbi terhadap hubungan baik kedua-dua parti terbesar Melayu itu selepas PRU 14, Noran Zamini mengakui ia bukan tugas mudah berikutan sejarah lampau yang membabitkan Umno dan Pas.

Bagaimanapun beliau percaya Himpunan bantah ICERD menjadi titik permulaan terbaik buat ahli kedua-dua parti untuk berfikir semula kesannya jika mereka terus bertelagah sehingga PRU15.

"Jika kedua-dua parti terus bermusuhan tidak akan ada kesudahannya kerana akhirnya yang menang jadi arang, kalah jadi abu namun hasilnya tiada.

"(Namun) orang Melayu ego macam manapun jika soal agama Islam, mereka tidak akan kompromi dengan tindakan-tindakan kerajaan yang boleh menjejaskan agama ini," katanya lagi.