29 tahun menanti rumah sendiri

Mohamad Ikma mengambil peluang berswafoto bersama Ahmad ketika menyerahkan kunci rumah pada Majlis Serahan Kunci 10 Rumah 'Home2Live' di Pusat Latihan dan Aktiviti Komuniti Rantau Panjang pada Rabu.
Mohamad Ikma mengambil peluang berswafoto bersama Ahmad ketika menyerahkan kunci rumah pada Majlis Serahan Kunci 10 Rumah 'Home2Live' di Pusat Latihan dan Aktiviti Komuniti Rantau Panjang pada Rabu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Selepas 29 tahun menanti kediaman yang lebih selesa seorang suri rumah bersyukur kerana impiannya menjadi kenyataan.

Norazinah Abdul Aziz, 48, teruja untuk menduduki rumah baharunya hasil sumbangan Muslim Care Society melalui program Rumah Home2Live.

Ibu lima anak berusia antara sembilan hingga 28 tahun itu tidak lagi bekerja selepas pandemik Covid-19 dan hanya bergantung harap kepada anak-anak.

"Sebelum ini kami hanya menyewa sebuah rumah kedai kerana suami bekerja sebagai tukang gunting," katanya ketika ditemui selepas di Majlis Serahan Kunci 10 Rumah 'Home2Live' di Pusat Latihan dan Aktiviti Komuniti Rantau Panjang pada Rabu.

Bagaimanapun katanya, suaminya yang berusia 60 tahun kini tidak lagi dapat melakukan kerja-kerja berat kerana masalah kesihatan selepas Covid-19.

"Kami kini sudah boleh tinggal di rumah yang lebih selesa tanpa perlu membayar sewa rumah sekali gus wang pemberian anak-anak boleh digunakan untuk perbelanjaan lain," katanya.

Muhamad Ikma Sayuti, 28, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pula berkongsi kegembiraan mendapat rumah bersama bapanya, Sayuti Makhtar, 47.

Muhamad Ikma yang cacat bahagian kaki akibat kemalangan pada tahun 2010 kini tinggal berdua bersama bapanya yang sudah tidak mampu bekerja kerana mengalami penyakit jantung dan kencing manis.

"Ayah selalu berulang-alik ke klinik kesihatan di Kota Bharu dan Rantau Panjang kerana perlu pemeriksaan dan mengambil ubat," katanya.

Muhamad Ikma memberitahu, bagi memperoleh perbelanjaan, dia berniaga secara kecil-kecilan dan wang itu boleh menampung kos barangan harian keluarga kecilnya.

"Alhamdulillah, rumah ini sangat membantu kami hidup selesa kerana tidak mungkin saya mampu mengumpul wang untuk sebuah rumah," katanya.

Serahan kunci rumah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Sementara itu, Presiden Muslim Care Malaysia (MCM) Society, Zulkifli Wahijan memberitahu, kesemua rumah berkenaan dibina bermula Oktober tahun lepas dan siap sepenuhnya Januari lalu.

Tambah beliau, sebanyak RM60,000 diperuntukkan bagi pembinaan sebuah rumah dan kos ditanggung sepenuhnya oleh MCM bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Caption

1. Mohamad Ikma mengambil peluang berswafoto bersama Ahmad ketika menyerahkan kunci rumah pada Majlis Serahan Kunci 10 Rumah 'Home2Live' di Pusat Latihan dan Aktiviti Komuniti Rantau Panjang pada Rabu.