'Mujur abang kejutkan ketika rumah terbakar' - Jazli

Jazli menunjukkan keadaan tangannya yang melecur akibat terkena api dalam kebakaran rumah di Kampung Pak Madah, Bukit Payong, Marang pada malam Selasa.
Jazli menunjukkan keadaan tangannya yang melecur akibat terkena api dalam kebakaran rumah di Kampung Pak Madah, Bukit Payong, Marang pada malam Selasa.
A
A
A

MARANG - "Mujurlah abang kejutkan saya sebelum api semakin marak, kalau tak mungkin saya tak sempat selamatkan diri," ujar Jazli Jisim, 34.

Dia berkata, abangnya, Zulkifli, 52, ketika itu kebetulan datang ke rumah pusaka dua tingkat yang didiaminya di Kampung Pak Madah, di sini pada sebelah petang sebelum ia musnah dalam kebakaran kira-kira jam 9.15 malam pada Selasa.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sudah tertidur di tingkat bawah rumah selepas menonton televisyen.

"Masa abang kejut tu keadaan rumah gelap sebab elektrik dah terpadam. Abang hanya guna lampu suluh. Sebaik terjaga saya menerpa ke tingkat atas rumah kerana api datang dari arah situ.

"Sempat juga saya capai air untuk simbah malangnya api semakin marak. Tak sampai tiga minit api dah merebak ke tempat lain dalam rumah," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada Rabu.

Menurut Jazli, menyedari api semakin marak dia dan abangnya bergegas keluar rumah untuk mendapatkan pertolongan dan menelefon bomba.

"Masa tengah kelam kabut itu saya keluar rumah minta tolong. Abang pula telefon pihak bomba. Waktu itu saya masih terkejut dan hanya sempat capai dua helai baju. Dalam masa 30 minit sahaja sebahagian daripada rumah ini telah musnah terbakar.

"Saya betul-betul tak sangka berdepan dugaan ini pada hari raya keempat. Bergitupun, saya bersyukur kerana saya terselamat dan kebakaran rumah ini berjaya dipadamkan oleh pihak bomba dan tidak merebak ke rumah lain, " ujarnya.

Jazli melihat kawasan rumah di Kampung Pak Madah di Bukit Payong, Marang yang musnah dalam kebakaran pada malam Selasa.
Jazli melihat kawasan rumah di Kampung Pak Madah di Bukit Payong, Marang yang musnah dalam kebakaran pada malam Selasa.

Jazli yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik berkata, buat sementara waktu dia terpaksa menumpang di rumah kakak dan abangnya yang lain.

Sementara itu, Zulkifli berkata, kebakaran mungkin berpunca daripada litar pintas di rumah berkenaan kerana dalam bilik bahagian atas terdapat wayar (extension plug) untuk sambungkan elektrik.

"Anggaran kerugian ditanggung kira-kira RM150,000 tidak termasuk perkakasan di dalam rumah," katanya yang tinggal di Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Sementara itu, jurucakap bomba memberitahu, seramai enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Tapai dibantu sembilan anggota BBP Marang serta tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela Sri Payung bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 9.21 malam.

Katanya, operasi memadam kebakaran itu tamat jam 12.45 tengah malam manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

"Rumah berkenaan 70 peratus terbakar manakala seorang mangsa melecur pada tangan dan kaki kiri kerana terkena api,"katanya.