BAC medan pulih maruah

Aaron (kiri) dan Wooi Yik harus menampilkan prestasi lebih baik apabila beraksi pada BAC 2023 di Dubai.
Aaron (kiri) dan Wooi Yik harus menampilkan prestasi lebih baik apabila beraksi pada BAC 2023 di Dubai.
A
A
A

BEREGU utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik harus menjadikan Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai medan kebangkitan.

Maruah juara dunia itu makin tercalar selepas mereka beraksi hambar dalam tiga kejohanan di Eropah bulan lalu – Terbuka Jerman, Seluruh England dan Terbuka Switzerland.

Walaupun berstatus beregu nombor dua dunia, Aaron-Wooi Yik gagal menampilkan rentak permainan ‘sang juara’ apabila tersingkir di pusingan awal dalam ketiga-tiga kejohanan tersebut.

Justeru, BAC 2023 yang membuka tirainya pada Selasa seharusnya menjadi detik ke-bangkitan buat Aaron-Wooi Yik yang terlepas gelaran juara pada edisi tahun lalu di Manila, Filipina.

Aaron-Wooi Yik terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas tumbang di tangan beregu muda Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan dalam aksi final.

“Memang keputusan kami dalam tiga kejohanan di Eropah bulan lalu tidak begitu baik. Kami harus segera bangkit dan memperbaiki setiap kelemahan yang ada.

“Sejujurnya memang sukar untuk meraih kemenangan dalam setiap perlawanan tetapi kami harus konsisten. Kami berdepan masalah konsistensi sejak beberapa tahun lalu.

“BAC merupakan kejohanan Super 1000 dan sudah tentu, ia penting bagi kami menampilkan prestasi yang baik sebelum bermula tempoh kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024,” kata Aaron.

Dalam aksi pusingan pertama pada Rabu, Aaron-Wooi Yik dijadual berdepan wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, lawan yang menyingkirkan mereka di pusingan pertama Seluruh England bulan lalu.

Jika mara ke pusingan kedua, Aaron-Wooi Yik dijangka bertemu pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin.

Beregu nombor tujuh dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang pula diramal menanti Aaron-Wooi Yik sekiranya mereka mara ke suku akhir.

“Saya akui banyak yang harus kami perbaiki dari segi skil dan taktikal permainan. Apa pun kami tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri apabila turun ke gelanggang pertan-dingan nanti,” jelas Wooi Yik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!