Ketua editor dipecat kerana wawancara AI bersama Schumacher

Muka depan majalah Die Aktuelle keluaran 15 April lalu yang mengundang kemarahan keluarga Schumacher. - Foto Agensi
Muka depan majalah Die Aktuelle keluaran 15 April lalu yang mengundang kemarahan keluarga Schumacher. - Foto Agensi
A
A
A

BERLIN - Ketua editor sebuah majalah Jerman, Anne Hoffmann dipecat gara-gara menerbitkan wawancara bersama Juara Dunia Formula 1 (F1), Michael Schumacher menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Penerbit majalah mingguan, Die Aktuelle itu turut mengemukakan permohonan maaf kepada keluarga legenda F1 tersebut berikutan juara dunia tujuh kali itu tidak dilihat di khalayak umum selepas mengalami kecederaan di kepala ketika bermain ski di pergunungan Alps Perancis pada Disember 2013.

Muka depan majalah tersebut turut menggunakan tajuk agak sensasi, ‘Michael Schumacher, wawancara pertama’ dan memaparkan wajah beliau sedang tersenyum.

Difahamkan, artikel kontroversi itu dihasilkan menggunakan program AI digelar charatcter.ai yang menghasilkan ‘kenyataan’ Schumacher tentang kesihatan dan kisah keluarganya.

“Saya boleh berdiri dan berjalan beberapa langkah. Tanpa keluarga, saya mungkin tidak akan dapat mengharungi semua ini. Mereka sentiasa menyokong dan berada di sisi saya,” menurut artikel itu memetik ‘kenyataan’ beliau.

Artikel tersebut bagaimanapun mengundang kemarahan keluarga Schumacher yang merancang untuk mengambil tindakan undang-undang.

Susulan insiden kemalangan berkenaan, Schumacher telah diletakkan dalam keadaan koma dan dibawa pulang pada September 2014, malah keadaan kesihatan beliau terus dirahsiakan hingga kini. - Agensi