MASAC jangka kes guna semula dadah meningkat

MASAC
MASAC
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) menjangkakan berlakunya peningkatan kes penggunaan semula dadah dalam kalangan bekas pengguna sewaktu musim perayaan.

Setiausaha Agung MASAC, Raja Azizan Suhaimi dalam kenyataan berkata, jangkaan itu berdasarkan trend tahunan sebelum ini menerusi sumber maklumat daripada Jurulatih Pemulihan Bertauliah MASAC dan rumah pemulihan badan bukan kerajaan (NGO) gabungan MASAC.

Jelasnya, trend itu boleh meningkat sehingga 20 peratus dalam kalangan bekas pengguna bahan terlarang seperti dadah yang baru pulih tidak kurang tiga tahun dan ke bawah.

“Ia disebabkan faktor individu pulang ke kampung halaman dan bertemu kembali rakan-rakan lama yang bersama menggunakan bahan terlarang terdahulu seperti dadah sintetik.

“Rata-rata pengguna dadah yang belum pulih sepenuhnya mempunyai rasa rindu mendalam terhadap bahan tersebut terutama golongan yang baru tiga tahun ke bawah berjaya pulih daripada ketagihan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Raja Azizan lagi, dadah jenis baharu mempunyai kadar bahan asing sintetik dan bukan daripada ramuan semula jadi yang merosakkan sistem saraf otak.

Ujarnya, permasalahan itu menjadikan golongan yang sedang berada dalam fasa pemulihan sukar untuk kekal pulih tanpa bantuan orang lain.

Jelas beliau, sewaktu musim perayaan, ahli keluarga memainkan peranan penting dalam menjaga setiap pergerakan bekas pengguna bahan terlarang ini.

“Apabila bekas pengguna bahan terlarang itu bertemu semula kawan-kawan lama, berasa sunyi atau terpinggir, golongan itu mempunyai kebarangkalian tinggi untuk kembali menggunakan dadah.

“Bukan itu sahaja, musim perayaan juga menyebabkan rancaknya penjualan dadah dengan harga lelong bagi stok sebelum raya yang tidak habis dijual,” ujarnya.

Raja Azizan berkata lagi, golongan itu memerlukan sokongan keluarga secara berterusan semasa musim perayaan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati mereka untuk kekal bergaul bersama rakan-rakan yang telah pulih sebagai sokongan untuk pulih selamanya dengan cara aktif bersama kumpulan pemulihan melalui kumpulan sembang di aplikasi WhatsApp.

-tamat-