47 mat rempit ditahan buat kecoh di Dataran Penggaram

Mat rempit yang lengkap berbaju Melayu menolak motosikal mereka selepas ditahan kerana membuat bising dan aksi berbahaya di Dataran Penggaram di Bandar Batu Pahat pada Sabtu.
Mat rempit yang lengkap berbaju Melayu menolak motosikal mereka selepas ditahan kerana membuat bising dan aksi berbahaya di Dataran Penggaram di Bandar Batu Pahat pada Sabtu.
A
A
A

BATU PAHAT - Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada hari pertama dicemari aktiviti rempit di Dataran Penggaram, di sini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, Op Selamat ke-20 yang bermula dari jam 5 hingga 7 petang itu mengepung kawasan dataran tersebut bagi memastikan semua samseng jalanan itu tidak melarikan diri.

"Operasi selama dua jam itu melibatkan 12 anggota dan pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Batu Pahat.

"Semuanya ditahan berikutan adanya aduan awam menyatakan puluhan remaja berkumpul dan membuat bising mengunakan motosikal di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pihak polis menahan 47 penunggang motosikal berumur antara 15 hingga 30 tahun.

"Kesemua mereka diiring ke balai polis trafik kira-kira 200 meter dari kawasan tersebut untuk pemeriksaan lanjut," jelasnya.

Ismail memberitahu, sebanyak 79 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 10 buah motosikal disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana tiada lesen menunggang serta mengubah suai ekzos.

"Dalam operasi ini polis juga menangkap tiga remaja dalam konvoi berkenaan yang melakukan pembakaran suar asap kerana boleh mendatangkan bahaya serta mengganggu ketenteraman awam dan pengguna jalan raya lain," katanya.

Jelasnya, seorang lagi ditangkap di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana menunggang motosikal dengan aksi yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Kesalahan Kecil/Seksyen 8 Akta Bahan Letupan.

"Pihak polis menasihatkan ibu bapa supaya memantau anak masing-masing bagi mengelakkan mereka terlibat dengan aktiviti tidak sihat melanggar peraturan dan undang-undang sedia ada," ujarnya lagi.