Terus doakan Jahidah sembuh

Fauziah memangku J Eshan Nufail sambil memerhatikan Jahidah ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Sendayan baru-baru ini.
Fauziah memangku J Eshan Nufail sambil memerhatikan Jahidah ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Sendayan baru-baru ini.
A
A
A

SEREMBAN - Jika Aidilfitri tahun lalu, keluarga kepada mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin, 44, terpaksa menerima hakikat yang wanita itu hanya terbaring kaku tanpa suara di rumah, begitu jugalah situasi yang berlaku pada Aidilfitri tahun ini.

Keadaan wanita itu tidak jauh berbeza, melainkan pada Aidilfitri kali ini dia telah sah bercerai secara fasakh dengan lelaki yang didakwa memukulnya dua tahun lalu sehingga koma.

Keputusan mahkamah pada Februari lalu sedikit sebanyak menjadi pengubat kesedihan keluarganya yang ‘kehilangan’ Jahidah yang tidak lagi seperti dulu.

Adiknya, Fauziah Nordin, 41, berkata, keluarga sememangnya sudah reda dengan keadaan Jahidah, namun tidak pernah putus berdoa agar dia diberikan kesembuhan.

“Raya kali ini boleh katakan sedikit ceria buat kami berbanding tahun lepas kerana kakak sudah tiada apa-apa kaitan lagi dengan lelaki (bekas suami) itu.

“Ia seperti satu beban kami dah hilang. Kami pun dah terima keadaan kakak macam itu dan sekarang mahu memastikan anaknya, J Eshan Nufail terus membesar dengan sihat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sendayan.

Menurut Fauziah, sejak tragedi menimpa Jahidah, rumahnya menjadi lokasi berkumpul untuk dia dan adik-beradiknya yang lain.

Malah wanita yang berasal dari Sabah itu berkata, Aidilfitri kali ini, adiknya dari Melaka dan abangnya dari Singapura akan datang bertandang ke rumahnya untuk beraya bersama Jahidah.

“Eshan pun dah setahun empat bulan, jadinya kami kena sambut hari raya sama seperti orang lain untuk gembirakan anak-anak,” katanya.

Fauziah sudah anggap J Eshan Nufail seperti anaknya sendiri.
Fauziah sudah anggap J Eshan Nufail seperti anaknya sendiri.

Mengenai anak saudaranya pula, Fauziah berkata, J Eshan Nufail dalam keadaan sihat tetapi masih perlu berulang-alik ke hospital untuk rawatan susulan berhubung masalah tumbesarannya.

Ini kerana katanya, meskipun sudah berusia satu tahun, tetapi berat badannya hanya 6.5 kilogram selain tidak lagi mampu berdiri atau merangkak.

“Doktor beritahu keadaan Nufail begitu kemungkinan disebabkan ibunya yang koma. Lagi pun ketika mengandungkan Nufail, kakak hanya minum susu.

“Tapi Nufail cergas dan tengah seronok bermain. Nufail mudah dijaga, tak banyak meragam,” katanya.

Fauziah mengakui rindu untuk pulang ke Sabah dan menziarahi kubur arwah ibunya, namun bimbang untuk meninggalkan Jahidah lama.

“Kalau nak balik Sabah, saya kena fikir siapa nak jaga kakak. Nak tinggal kakak lama-lama pun tak boleh. Selain risau, kami juga kena ambil kira soal kos mengambil perkhidmatan penjagaan di rumah untuk kakak,” ujarnya.

Dalam kejadian pada 4 Mei lalu, Jahidah, yang menetap di Johor Bahru koma kerana kecederaan parah di kepala selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.

Jahidah melahirkan J Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021.