Jangan halang ‘The Greater Kedah’ - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berharap tiada pihak yang cuba menghalang hasrat untuk menjadikan negeri Jelapang Padi sebagai ‘The Greater Kedah’.

Beliau berkata, setiap negeri berhak merencanakan masa depan sendiri untuk melonjakkan ekonomi dan memastikan kebajikan rakyat lebih terjamin menerusi pelan pembangunan negeri.

Menurutnya, perancangan 'The Greater Kedah' merupakan satu gagasan bagi merencanakan semula kegemilangan Kedah menerusi sumber-sumber yang ada di bumi Kedah selain melaksanakan pelbagai projek yang telah dirancang.

“Saya percaya, tidak mustahil dan tidaklah sukar untuk Kedah bakal menjadi 'The Greater Kedah' dalam tempoh 15 tahun.

"Sebab itu, apabila ada usaha untuk menghalang mana-mana pelan yang diatur untuk kita capai Kedah 2035, kita akan usahakan agar halangan itu dapat diatasi secara baik dan berdasarkan fakta serta kebenaran,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, selaku ketua kerajaan negeri beliau mempunyai hak untuk menyuarakan hasrat dan pendirian Kedah.

“Saya mahu lonjakan Kedah dalam tempoh singkat sebagai 'The Greater Kedah', saya yakin kita boleh capai namun ada pihak yang akan perlekehkan hasrat ini.

“Kita berhak tentukan nasib negeri kita, jangan biarkan kita menjadi 'grand design' orang lain sehingga akhirnya kita melukut di tepi gantang, menjadi penyumbang kepada 'greater' negeri lain. Saya harap anak-anak Kedah bantu usahakan agar hasrat ini tercapai,” katanya.

Tambah Muhammad Sanusi, sekiranya 'Greater Penang' menjadi polisi kerajaan Persekutuan untuk muncul sebagai pusat pertumbuhan ekonomi wilayah Utara, Kedah juga berhak melakukan perkara sama.

“Kita tak halang 'Greater Penang' sebab sudah dirancang dan dilaksanakan. Tetapi jangan letakkan batu penghalang kepada apa yang kami rancang untuk negeri kami.

“Kita tak mahu jadi negeri sampingan atau penyumbang kepada 'Greater Penang'. Dalam hal ini, saya tak setuju kerana Pulau Pinang banyak bergantung kepada sumber dari Kedah, antaranya tenaga kerja dan sumber air.

"Jadi kenapa negeri yang bergantung kepada negeri lain dijadikan 'Greater Penang' untuk menjadi katalis pertumbuhan di Utara sedangkan Kedah tidak bergantung kepada sesiapa. Saya rasa ini tidak adil dalam perancangan pembangunan wilayah di Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, 'The Greater Kedah' merupakan blueprint kepada Kedah 2035 yang diadun bersama inti pati gagasan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.

“Terdapat enam kandungan yang digagaskan dalam gagasan sejahtera antaranya, keadilan, kebersamaan dan keselamatan. Dua konsep berkenaan diadun lagi dengan slogan negeri Kedah tempat orang kaya berbakti dan tempat orang miskin berteduh.

“Kesemua konsep itu digabungkan dengan SDG (Sustainable Development Goal) termasuk perkara yang sedang kita laksanakan.

"Saya yakin sangat munasabah untuk meletakkan Kedah ke sasaran itu kerana Kedah memiliki pelbagai sumber yang diperlukan untuk menjadi sebuah negeri hebat di rantau Utara,” katanya.

Menurutnya, sumber kekayaan negeri yang dapat menyumbang ke arah merealisasikan hasrat tersebut termasuk sumber hutan, air, tanah untuk pertanian mahupun industri, sumber tenaga yang banyak, jaringan infrastruktur yang baik, selain bakal miliki lapangan terbang baharu serta pelabuhan.

“Ini termasuk rancangan yang telah disusun untuk capai Kedah Maju 2035 iaitu Kedah Aerotropolis, Kedah Rubber City dan Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (SBEZ) yang merupakan projek berimpak tinggi,” katanya.

Muhammad Sanusi tegaskan, 'The Greater Kedah' merupakan rangkaian kemajuan Kedah yang bukan sahaja bertumpu kepada sektor pertanian, tetapi mencakupi kemajuan pembangunan dan ekonomi, pelaburan, pelaksanaan projek berimpak tinggi serta jaringan perhubungan yang efisien selain pembangunan keilmuan ‘The Cordoba of Kedah’.

“Tidak mustahil kesemua gabungan itu kelak menjadi rintis ke arah mewujudkan 'The Greater Kedah' dan akan menjadi realiti baharu bagi negeri ini,” ujarnya.