Kenderaan banyak, aliran trafik masih lancar

Aliran trafik menghala ke utara lancar meskipun kenderaan bertambah. (Gambar kecil: Mohd Alifarihan)
Aliran trafik menghala ke utara lancar meskipun kenderaan bertambah. (Gambar kecil: Mohd Alifarihan)
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Keadaan aliran trafik menuju utara di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora di sini, pada Rabu bergerak lancar meskipun berlaku pertambahan kenderaan.

Tinjauan Sinar Harian bersama Unit Penguatkuasaan Lebuh Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati, tiada sebarang kesesakan luar biasa berlaku setakat jam 4 petang.

PLUS melalui Twitternya memaklumkan, setakat jam 5 petang, trafik mula perlahan selepas Terowong Menora apabila terdapat maklumat awal kemalangan di Kilometer 257.3 yang mana lorong kiri terhalang.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Bahagian Penguatkuasa JPJ, Mohd Alifarihan Abdullah berkata, JPJ akan membantu polis melancarkan aliran trafik sepanjang tempoh operasi sempena Hari Raya Aidilfitri.

"Seperti yang dijangkakan oleh pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangka kira-kira dua juta kenderaan menggunakan semua rangkaian lebuh raya.

"Kita akan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyuraikan trafik. JPJ juga akan memfokuskan penguatkuasaan penuh terhadap kesalahan antaranya menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang keselamatan dan memandu di lorong kecemasan," katanya.