Jangan guna nama saya untuk dapatkan projek - Ab Rauf

Ab Rauf - Foto Bernama
Ab Rauf - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh tidak membenarkan mana-mana individu menggunakan namanya untuk mendapatkan apa juga projek demi kepentingan peribadi.

Ab Rauf berkata, sekiranya perkara itu berlaku (mendapatkan apa-apa projek), ia perlulah dirujuk kepada beliau atau pegawai kanannya.

"Di bawah pentadbiran saya, tiada sesiapapun dibenarkan menggunakan nama Ketua Menteri Melaka untuk mendapatkan apa-apa projek yang berkaitan.

"Ia merupakan antara 12 perkara yang menjadi keutamaan dalam pentadbiran saya," katanya dalam satu kenyataan selepas menyampaikan ucapan sulung Amanat Penjawat Awam Negeri Melaka sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2023, petang Selasa.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya akan memudah cara segala urusan perniagaan dan pelaburan agar Melaka menjadi sebagai negeri yang ‘mesra pelabur’.

"Saya juga mahu semua pihak berkuasa tempatan (PBT) meningkatkan tahap kebersihan di Melaka agar rakyat dapat menikmati suasana yang bersih dan ceria di kawasan pentadbiran masing-masing.

"Dalam masa sama, PBT perlu memudahkan urusan penjaja kecil dan peniaga berniaga termasuklah urusan mendapatkan lesen perniagaan dengan mematuhi syarat-syarat keselamatan untuk berniaga di Melaka.

"Saya mahukan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mewujudkan Zon Bebas Kenderaan di sekitar Bangunan Stadhuys dan usaha ini perlu disegerakan," katanya.

Sementara itu, beliau turut menggesa semua projek yang menjadi 'eyesore' merosakkan pandangan mata orang luar Melaka, perlu diambil tindakan serius dan drastik.

"Ia bagi memulihkan reputasi kerajaan negeri Melaka seperti projek Planetarium di MITC, bangunan terbiar K-Ekonomi, monorel, Dolphin Park di Pulau Melaka, bangunan-bangunan komersial CMI dan Arab City di Pulau Melaka, Panggung Cathay atau Panggung Bangsawan Melaka dan lain-lain," katanya.