Empat sekeluarga tinggal dalam bangsal pindah rumah baharu

Jamil dan keluarga dipindahkan dari Kampung Sungai Batu, Merbok ke rumah sewa baharu di Taman Lembah Merbok bagi memberi keselesaan dalam menyambut Aidilfitri. (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Isnin)

A
A
A

MERBOK - Syawal tahun ini disambut penuh keceriaan buat sebuah keluarga yang sebelum ini tular kerana berteduh dalam bangsal kereta di Kampung Sungai Batu, di sini.

Jamil Ahamad, 35, menganggap rumah sewa baharu diterima itu sebagai rezeki anak ketiga yang bakal lahir bulan hadapan selain kegembiraan buat dua anak perempuan yang berusia empat dan lima tahun.

Kisah sepasang suami isteri serta dua anak yang berteduh bawah bangsal mendapat perhatian pelbagai pihak.
Kisah sepasang suami isteri serta dua anak yang berteduh bawah bangsal mendapat perhatian pelbagai pihak.

Menurutnya, isteri yang kini sarat mengandung juga boleh berehat dengan selesa sementara menunggu kelahiran anak ketiga.

"Walaupun malu menjadi perhatian namun saya bersyukur dengan semua rezeki ini dan berterima kasih kepada pihak yang membantu," katanya.

Lembaga Zakat Negeri Kedah turut menyampaikan sumbangan kepada Jamil.
Lembaga Zakat Negeri Kedah turut menyampaikan sumbangan kepada Jamil.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Jariah Qaseh Malaysia, Natipah Abu yang menguruskan perpindahan keluarga Jamil menjelaskan, bayaran sewa selama tiga bulan pertama dibiayai Lembaga Zakat Negeri Kedah dengan kadar RM350 sebulan.

Jamil juga ditawarkan bekerja sebagai pekerja kebersihan masjid di Murtadha Dakwah Centre (Madad) yang diuruskan Pengarah Urusannya, Mohammad Yaakub Yusra.

Empat sekeluarga terpaksa berteduh bawah bangsal kereta di Kampung Sungai Batu, Merbok.
Empat sekeluarga terpaksa berteduh bawah bangsal kereta di Kampung Sungai Batu, Merbok.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kisah sepasang suami isteri bersama dua anak perempuan yang berteduh bawah bangsal kereta di Kampung Sungai Batu, Merbok, Kedah berikutan tidak mampu membayar sewa yang banyak tertunggak.

Jamil bersama isteri yang sarat mengandung, Siti Norshahira Nabila Hamzah, 28, anak mereka, Nur Iman Arissa, 5 dan Nur Amani Arisha, 4, terpaksa berteduh di bawah bangsal buat sementara waktu selepas berpindah dari rumah sewa di Seberang Perai Utara, dua minggu lalu.